Air parit busuk, meloyakan!

Alwi menunjukkan keadaan air parit yang tercemar.
Alwi menunjukkan keadaan air parit yang tercemar.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM – Keadaan air dari parit kecil di Taman Putri Mas di sini, yang mengeluarkan bau busuk dan berwarna hitam menyebabkan penduduk tidak selesa selain bimbang tahap kesihatan mereka.

Penduduk, Shamsul Khan Ahmad Khan, 53, berkata, masalah tersebut juga bukan perkara baharu kerana sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu dan dia mendakwa pencemaran air tersebut berpunca daripada kawasan industri berhampiran taman berkenaan.

“Sepanjang tempoh tersebut, penduduk sudah beberapa kali membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), namun sehingga kini masalah ini masih gagal lagi diatasi.

“Rumah saya yang paling hampir dengan parit ini dan setiap hari saya dan keluarga dihantui bau busuk dan masalah ini seperti berulang-ulang dan bertambah teruk kalau cuaca tidak menentu sama ada hujan atau panas,” katanya.

Keadaan air parit di Taman Putri Mas yang berwarna hitam dan berbau busuk.
Keadaan air parit di Taman Putri Mas yang berwarna hitam dan berbau busuk.

Menurutnya, dia juga bimbang sekiranya masalah pencemaran tersebut tidak diatasi ini akan menjejaskan tahap kesihatan penduduk di kawasan berkenaan secara perlahan selain mendakwa terdapat kemungkinan air parit itu mengalir ke arah sungai utama.

Sementara itu, pemancing, Alwi Ali, 37, berkata, sebelum ini banyak spesies ikan air tawar seperti haruan, keli dan puyu boleh didapati di kawasan tersebut dan kini, boleh dikatakan tiada sebarang spesies ikan air tawar yang boleh ditemui.

“Selepas pencemaran bertambah teruk sehingga keadaan air menjadi hitam, saya yakin tak ada lagi ikan yang dapat hidup di dalam air ini dan kami pun sudah lama tak memancing di kawasan ini kerana tak tahan dengan bau busuknya.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan ini bukan sahaja berlaku di parit ini, namun sesekali merebak ke Sungai Benut sehingga menyebabkan kehidupan air di sungai berkenaan semakin berkurangan dan saya selalu jumpa ikan atau udang galah mati tanpa sebab,” katanya.

Dia berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini selain meyakinkan penduduk bahawa masalah yang berlaku ini tidak akan menjejaskan kesihatan mereka.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 5, Mohd Ishak Shir Mohd berkata, masalah pencemaran di parit tersebut didakwa berpunca dari kawasan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kawasan industri Simpang Renggam berhubung terus dengan sumber air di taman berkenaan.

“Sebelum ini, saya sudah terima aduan daripada penduduk dan bawa masalah ini ke dalam Mesyuarat Penuh MDSR bagi meminta JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat masalah ini,” katanya.