Doktor Muda Terengganu lakar sejarah

Shafruddin bersama rombongan ahli Kelab Doktor Muda Terengganu dan guru pengiring sebelum bertolak ke Vietnam.
Shafruddin bersama rombongan ahli Kelab Doktor Muda Terengganu dan guru pengiring sebelum bertolak ke Vietnam.
A
A
A

MARANG - Kelab Doktor Muda Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya menganjurkan Program Komuniti Kesihatan Antarabangsa di sebuah perkampungan Islam Champ An Nur, di Vietnam.

Program dua hari itu membabitkan 21 murid dari enam sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong, SK Simpang Rawai, SK Sultan Omar, SK Kuala Nerus dan SK Wakaf Mempelam serta SK Telemong.

Lebih manis apabila Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin turut memberikan sokongan padu terhadap pelaksanaan program turut melibatkan enam guru pengiring itu.

Pada program itu, sebuah stesen aktiviti Kelab Doktor Muda telah dibuka di dalam Madrasah An Nur dilengkapi penerangan tip mencegah denggi dan bahaya aedes, rawatan pertolongan cemas serta penjagaan rambut dan kuku.

Apa yang menarik, kesemua perkara penting mengenai maklumat kesihatan itu disampaikan murid yang bertindak sebagai doktor muda kepada masyarakat setempat di perkampungan itu.

Ketua Kontinjen, Cikgu Mahdalina Jamil juga selaku Penyelaras Program anjuran SK Bukit Payong itu, berkata, inilah konsep Kelab Doktor Muda iaitu menyampaikan mesej kesihatan kepada masyarakat.

"Namun jika sebelum ini, kumpulan doktor muda itu tidak mempunyai masalah menerangkan kepada rakan-rakan di sekolah, tetapi apabila berada di negara luar, sudah tentu memberi cabaran.

"Apa lagi pelajar masyarakat di kawasan berkenaan agak ketinggalan dari segi kemudahan prasarana serta tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan begitu baik.

Artikel Berkaitan:

"Jadi pelbagai cara terpaksa digunakan murid termasuk menggunakan perantara atau bahasa badan kepada masyarakat setempat agar maklumat dapat dikongsi," katanya yang tiba di sini, hari ini.

Mahdalina ditemui di SK Bukit Payong di sini berpuas hati dengan program tersebut kerana berjaya mencapai matlamat penganjurannya iaitu memberi pendedahan awal doktor muda kepada dunia luar.

“Saya yakin kumpulan doktor muda ini telah memperoleh pendedahan awal yang berguna dalam aspek kemenjadian seorang murid untuk masa depan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Kelab Doktor Muda Terengganu turut menderma sebanyak RM1000 untuk kegunaan pihak pengurusan dua buah madrasah di Vietnam termasuk Madrasah An Nur

Sebelum itu, rombongan murid dari Terengganu bersama guru pengiring turut melawat ke Kedutaan Malaysia serta beriadah bersama komuniti dirasmikan Konsul Jeneral Malaysia, Sofian Akmal Abd Karim.