Tembakan trem Belanda: Bapa mahu suspek dihukum setimpal

Suspek serangan di bandar Utrecht, Gokmen Tanis telah diberkas polis.
A
A

ISTANBUL - TURKI. Bapa kepada Gokmen Tanis, lelaki yang melepaskan tembakan dalam sebuah trem di bandar Utrecht, Belanda mahu anaknya dikenakan hukuman setimpal.

Dalam kejadian pagi semalam, Gokmen menyebabkan tiga kematian manakala lima liga penumpang trem cedera.

Polis mengesahkan lelaki berusia 37 tahun itu telah diberkas.

"Jika serangan itu angkaranya, dia harus dihukum," kata Mehmet Tanis.

Tambah Mehmet, dia terputus hubungan dengan anaknya sejak 2008 selepas bercerai dengan ibu Gokmen.

"Saya tidak berhubung dengan anak lelaki saya selama 11 tahun lalu.

"Kami tidak pernah bercakap sejak 2008," katanya.

Dalam serangan semalam, Gokmen yang dilahirkan di Turki melarikan diri sejurus serangan.

Sementara itu, laporan di Turki menyebut beberapa ahli keluarga Gokmen di Turki memaklumkan kepada agensi berita Anadolu bahawa suspek melepaskan tembakan ke arah seorang ahli keluarga atas sebab pertikaian domestik.

Dia kemudian menembak orang lain yang masuk campur.

Semalam, Polis Belanda mengeluarkan kenyataan awal serangan di Utrecht 'mungkin bermotifkan keganasan.'

Dalam pada itu, beberapa akhbar di Belanda termasuk Algemeen Dagblad melaporkan Gokmen sepatutnya hadir ke mahkamah pada 4 Mac lalu atas satu kes rogol, dia dituduh melakukan beberapa serangan seks terhadap mangsa dan mengancam untuk membakar rumah beliau.

Pada 2013, dia disyaki cuba menyebabkan kematian dengan memulakan kebakaran terhadap sebuah pangsapuri dan beberapa tahun lalu, dia didakwa melakukan rompakan, mencuri, memandu dalam keadaan mabuk serta meludah polis di muka. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia