Zahid gelar pentaasub kluster mahkamah ‘varian baharu'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara sinis menggelarkan kumpulan yang sentiasa menyalahkan kluster mahkamah sebagai ‘varian taasub'.

Beliau menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis berkata, kumpulan tersebut sentiasa menjadikan kluster mahkamah sebagai punca terhadap segala isu yang berlaku di dalam negara.

“Ini bukan varian dari virus yang disebarkan oleh penyakit fizikal. Tetapi penyakit hati. Namanya 'varian taasub kepada kluster mahkamah’. Simptomnya mudah. Setiap hari mereka akan meratib, kluster mahkamah, kluster mahkamah dan kluster mahkamah.

“Pakatan Harapan (PH) tumbang, kluster mahkamah. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kluster mahkamah. PRN Melaka, kluster mahkamah. Dan sudah pastilah, PRN Johor, kluster mahkamah.

“Hampir tidak ada masalah dalam negara kita ini yang bukan berpunca dari kluster mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, turut mengulang 'sifir' yang sama adalah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa PRN Johor dilaksanakan demi kepentingan kluster mahkamah.

Ahmad Zahid mendakwa tuduhan dan naratif tersebut berkemungkinan dilakukan kerana beliau dan rakannya akan turun ke Johor bagi berkempen dalam PRN di negeri itu.

“Atau barangkali ini cara Tun Mahathir sebenarnya mahu menempelak secara halus wakil kluster mahkamah dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut menjual naratif mahu menyelamatkan Malaysia bermula dengan Johor.

Artikel Berkaitan:

“Bak kata orang dulu-dulu, pukul anak sindir menantu,” katanya.

Ahmad Zahid turut mendakwa mereka yang ‘dijangkiti varian’ tersebut juga akan menyatakan bahawa perkara yang berlaku di Johor adalah cerminan kepada perkembangan yang berlaku di peringkat pusat.

“Walaupun agak tidak logik dan tidak matang, tetapi naratif ini mudah disebarkan,” ujarnya.