'Kerjasama Pas-UMNO bukan retorik'

Mohd Hasnizan ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Hulu Selangor.
Mohd Hasnizan ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Hulu Selangor.
A
A
A

BATANG KALI - Pas dan UMNO Bahagian Hulu Selangor akan meneruskan program muzakarah secara bersama bagi memperjelaskan kepada ahli masing-masing mengenai kerjasama antara dua parti politik itu.

Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, ahli kedua parti dihimpunkan melalui program perbincangan di beberapa kawasan ditetapkan.

Menurutnya, ahli berpeluang mengajukan sebarang soalan atau kemusykilan untuk dibincangkan bersama pemimpin parti peringkat kawasan.

"Pas dan UMNO mempunyai sejarah silam maka sesi penerangan dan perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu supaya ahli mendapat maklumat yang jelas.

"Kita juga mahu ahli tahu bahawa kerjasama Pas dan UMNO bukan sekadar retorik sebaliknya demi Islam yang kita letakkan di hadapan sebagai agenda utama.

"Program muzakarah ini akan diadakan di seluruh daerah membabitkan kedua-dua parti dan bagi pemimpin peringkat jawatankuasa, kita sudah pun ada tiga pertemuan setakat ini," katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Hulu Selangor, kelmarin.

Majlis perasmian itu mencatat sejarah apabila dihadiri pemimpin UMNO Bahagian Hulu Selangor diketuai Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan bersama Pemuda UMNO bahagian.

Mohd Hasnizan berkata, kerjasama antara dua parti itu dilihat sebagai keperluan bagi menjaga kestabilan negara pelbagai kaum dan demi perpaduan ummah melibatkan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rakyat memberi sokongan positif terhadap usaha tersebut seperti yang sudah terbukti melalui PRK Cameron Highlands dan Semenyih.