Jom ke Yong Peng!

Mohd Hafiz (tengah) bersama Azmee (kiri) dan Mazlin (kanan).
A
A

BATU PAHAT - Orang ramai dijemput memeriahkan Karnival Hari Terbuka dan Pesta Makanan Johor Majlis Daerah Yong Peng (BDYP) di Dataran Gemilang Yong Peng pada 23 hingga 31 Mac ini.

Yang Dipertua MDYP, Mohd Hafiz Aliman berkata, majlis yang diadakan bersempena dengan sambutan Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu akan menawarkan pelbagai aktiviti bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari sepanjang sembilan hari penganjuran diadakan.

Katanya, antara kemudahan yang tidak boleh dilepaskan orang awam adalah kaunter bayaran cukai serta bayaran kompaun dengan potongan istimewa selain pusat aduan yang turut dibuka sepanjang hari bagi memudahkan orang ramai menjelaskannya.

“Selain itu, pihak penganjur juga menyediakan kaunter khas untuk orang ramai berurusan dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, PDRM, JPJ, Bomba dan Penyelamat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), SWCorp dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Batu Pahat.

“Turut diadakan adalah kaunter informasi berkaitan kemudahan dan peluang pendidikan daripada Kolej Komuniti, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa sidang media Karnival Hari Terbuka dan Pesta Makanan Johor di MDYP, semalam.

Turut hadir, Setiausaha MDYP, Azmee Awang dan Pengerusi Penganjur Karnival, Mazlin Abu Bakar.

Menurutnya, selain daripada penyediaan kaunter perkhidmatan dan informasi, karnival ini turut menjanjikan kemeriahan dengan persembahan kebudayaan negeri Johor seperti Barongan, Zapin dan Tarian Singa yang akan diadakan pada 24 Mac manakala Forum Perdana bersama Datuk Dr Nooh Gadut pada 27 Mac.

"Namun, yang pasti akan menjadi tumpuan orang ramai adalah pesta makanan Johor yang menjanjikan lebih 10 menu warisan rakyat negeri ini seperti burasak, lepat loi, ketupat, laksa Johor, kacang pool dan lain-lain lagi.

“Jadi, saya menjemput orang ramai untuk sama-sama menghadiri karnival ini kerana ianya menyediakan pelbagai kemudahan, makanan selain hiburan yang dijangka akan dimeriahkan Sufian Suhaimi dan Jaafar Onn sebagai artis undangan,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia