X

Kindly register in order to view this article
!

Pencemaran kimia: DRF eMAS, DRF eNH3 bakal jadi penyelamat

Kumpulan penyelidik Unisza pada pertandingan MPI 2019.
A
A
KUALA NERUS - Alat pengesan dan amaran awal gas toksik seperti ammonia, metana dan hidrogen sulfida yang boleh mencecah RM18 ribu seunit antara faktor keperluan itu diabaikan pihak industri.

Tindakan mengabaikan keperluan alat pengesan dan amaran awal itu menyebabkan banyak kecederaan serta kematian berlaku disebabkan kebocoran gas dilaporkan dalam media tempatan sebelum ini.

Terbaharu, kejadian pencemaran sisa bahan kimia yang menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, pada 7 Mac lalu.

Oleh itu, pasukan penyelidikan kualiti udara di Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) membangunkan peralatan saintifik untuk mengurangkan kos pemilikan.

Penyelidikan itu diketuai Pensyarah Kanan, FBIM Dr Azman Azid bersama tiga lagi penyelidik iaitu Dr Fathurrahman Lananan, Dr Mohd Saiful Samsudin dan Muhammad Amirruldin Abadi Zaman.

Usaha tersebut mendapat kerjasama rakan industri tempatan iaitu Dr FAS Technologies. Kumpulan ini mengambil keputusan membangunkan peralatan saintifik itu bagi mengurangkan kos pemilikan.

Dr Azman berkata, penyelidikan dan pembangunan peralatan itu menjadi kenyataan dengan pengalaman penyelidik yang mendalam dan melalui penyelidikan kualiti udara sejak 2015 di Unisza.

Menurutnya, dalam pertandingan Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI 2019) yang lepas, dua peralatan saintifik persampelan udara berkos rendah pasukan penyelidikan juga dipertandingkan.

"DRF eNH3 dan DRF eMAS masing-masing mendapat pengiktirafan pingat emas dan pingat gangsa dalam pertandingan MPI 2019.

Pingat Emas untuk DRF eNH3 dan pingat gangsa untuk DRF eMAS.
Pingat Emas untuk DRF eNH3 dan pingat gangsa untuk DRF eMAS.

"DRF eMAS adalah peralatan persampelan udara untuk mengesan pencemaran biologi serta penyakit bawaan udara manakala DRF eNH3 mengesan kewujudan gas toksik seperti ammonia dalam udara di persekitaran," katanya di sini, hari ini.

Dr Azman berkata, produk pertama iaitu DRF eNH3 direka untuk mengesan kewujudan gas ammonia dengan kompensasi automatik suhu dan kelembapan udara.

"Produk ini mempunyai kepekaan tinggi dalam mengesan kewujudan gas ammonia walaupun dalam kepekatan sangat rendah pada 0.1 ppm. Dengan mengaplikasikan indikator mudah, enam tahap amaran kewujudan gas akan memudahkan kefahaman pekerja kilang mahupun orang ramai.

"Prototaip DRF eNH3 dikenali umum sebagai Gaseous Ammonia Sensor (GAS) boleh didapati dalam pasaran tempatan dengan harga RM1500 disertakan jaminan satu tahun penggunaan industri," katanya.

Dalam pada itu, katanya, selain risiko kemalangan akibat gas toksik, risiko penyakit bawaan udara juga tidak boleh diketepikan dan antara wabak penyakit bawaan udara yang pernah dilaporkan adalah seperti anthrax, influenza dan penyakit TB.

"Peralatan persampelan udara komersial untuk tujuan analisis pencemaran biologi yang biasa digunakan adalah MERCK MAS-100 ECO adalah berharga RM23,830 dalam pasaran tempatan. Namun DRF eMAS dijangka akan dijual hanya pada harga hanya RM4,800 untuk peringkat pengkomersialan pertama.

"Kedua-dua produk ini (DRF eNH3 dan DRF eMAS) sudah siap dibangunkan pada peringkat prototaip pertama dan akan melalui peringkat awal pengkomersialan. Tempahan industri dan beberapa buah institusi pengajian awam telah diterima untuk pembelian prototaip pertama kedua-dua produk ini," katanya.

Menurutnya, untuk tempahan akan datang, kumpulan penyelidikan ini mewakilkan Dr FAS Technologies untuk tujuan pengurusan dan pemasaran di laman sesawang www.drfastech.com.

"Adalah menjadi harapan kumpulan penyelidikan ini untuk menjadikan peralatan kajian kualiti udara buatan tempatan pada kos mampu milik merupakan sebuah sumbangan kepada masyarakat," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!