Suami isteri pekak, bisu perlukan bantuan

Tosrin menyampaikan sumbangan MAINJ kepada pasangan suami isteri bisu dan pekak di rumah mereka di Taman Setia Indah, Johor Bahru, pada Rabu.
Tosrin menyampaikan sumbangan MAINJ kepada pasangan suami isteri bisu dan pekak di rumah mereka di Taman Setia Indah, Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri pekak dan bisu tinggal bersama-sama tiga anak kini terpaksa bergantung hidup dengan bantuan kerajaan selepas perniagaan sate mereka terpaksa dihentikan setelah lelaki tersebut disahkan menghidap kanser tahap empat.

Menurut Zulkifli Ainul Mokhsein, 34, yang hanya boleh mendengar bunyi pada jarak dekat dan kuat, kini tidak mampu untuk bekerja bagi menjana pendapatan mereka sekeluarga.

Lebih malang, isterinya, Siti Nuratika Mohd Suhaimi, 30, juga merupakan orang kurang upaya (OKU) pekak bisu dan buta huruf terpaksa membesarkan tiga anak mereka berusia antara lima bulan hingga enam tahun dengan semampu yang ada.

"Akibat sakit yang dialami, setiap kali saya berniaga dan mengangkat barang-barang berat, saya akan terasa sakit di bahagian dada. Selain itu saya juga berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan kanser.

"Sejak buat kimoterapi saya nak memandu pun masalah kerana akan berasa pening. Kadangkala apabila sakit datang ketika berniaga, saya perlu mengupah bantuan pekerja dengan bayaran RM40 sehari, jadi ia amat sukar.

"Jadi buat waktu ini, kami sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM400," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi di rumahnya di Taman Setia Indah di sini pada Rabu.

Ketika kunjungan itu, beliau menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selain menghulurkan bantuan bulanan RM400 kepada keluarga berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tosrin turut melahirkan rasa sedih apabila melihat keluarga tersebut yang tinggal menyewa di rumah berkenaan.

"Rasa terharu apabila bertemu dengan keluarga seperti ini, kerana suami isteri keduanya pekak dan bisu manakala ketiga-tiga anak mereka pula normal. Ini betul-betul menyentuh jiwa saya.

"Saya akan memberi lebih perhatian kepada keluarga ini dan keluarga lain yang berdepan situasi sama kerana tiada bantuan, mungkin kehidupan mereka akan lebih sukar," katanya.

Beliau juga memaklumkan akan berurusan dengan pemilik perumahan berkenaan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) sekiranya bayaran sewa bulanan perumahan boleh dimansuhkan.

"Kami akan cuba berbincang supaya mereka tidak perlu membayar sewa lagi. Jadi duit yang mereka terima boleh gunakan untuk rawatan dan lain-lain. Saya juga akan cuba dapatkan bantuan lain untuk keluarga ini," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyampaikan bantuan ke akaun Maybank bernombor 101280031978.