Kompaun parkir RM300 diturunkan kepada RM30 di Besut

Nurkhuzaini
Nurkhuzaini
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mengurangkan kadar kompaun maksimum bagi kesalahan tempat letak kereta (TLK) Sistem Tempat Letak Kereta Pintar Smart Besut daripada RM300 kepada RM30.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini A Rahman berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu dan terpakai sehingga ketetapan baharu diumumkan pada masa ditetapkan nanti.

"Kadar kompaun kesalahan yang dikenakan sebanyak RM300 menimbulkan keresahan dalam kalangan pemilik kenderaan, jadi hari ini kita bersetuju dan meminta Majlis Daerah Besut (MDB) serta syarikat berkaitan untuk menurunkan kadar kompaun maksimum RM300 kepada RM30," katanya dalam sidang media, pada Rabu.

Beliau berkata, MDB telah menswastakan sebanyak 2,802 petak TLK di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Kuala Besut dan Kota Putera dengan kadar bayaran ditetapkan sebanyak 60 sen untuk tempoh satu jam dan tambahan 30 sen untuk tempoh setengah jam.

"Satu perbincangan antara pihak konsesi serta MDB diadakan semalam untuk mendapatkan satu penyelesaian terbaik bagi semua pihak susulan 13 isu berbangkit yang dikenalpasti melibatkan Smart Besut," jelasnya.

Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya juga meminta pihak konsesi mencetak kupon gores letak kereta dan hanya dijual kepada pengguna berusia 55 tahun ke atas yang mempunyai kesukaran menggunakan sistem tersebut.

"Penggunaan kupon ini bagi memudahkan golongan warga emas yang tidak mesra dengan aplikasi itu.

"Kita juga beliau mengalu-alukan cadangan daripada orang ramai untuk meningkatkan keupayaan penggunaan sistem tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

MDB dengan kerjasama Syarikat First Parking telah menggunakan Sistem Tempat Letak Kereta Pintar Smart Besut yang telah dimuat turun oleh 19,638 pengguna bermula November tahun lalu.