Agong berkenan terima menghadap Perdana Menteri secara maya

Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet yang berlangsung menerusi sidang video di Istana Negara. Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet yang berlangsung menerusi sidang video di Istana Negara. Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat Pra Kabinet menerusi sidang video di Istana Negara, pada Rabu.

Melalui perkongsian Facebook Istana Negara, Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Ismail Sabri berada di Brunei sejak Isnin lalu, dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke negara jiran itu.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, selain menyentuh mengenai usaha dan inisiatif bagi meningkatkan hubungan istimewa ke satu tahap yang lebih tinggi dan komprehensif, kerjasama ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan.

Antara perkara yang dipersetujui termasuk mengenai Vaccinated Travel Lane (VTL) bagi pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan Brunei Darussalam dengan pelaksanaan empat penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur-Bandar Seri Begawan.

Brunei juga bersetuju mengiktiraf MySejahtera dan BruHealth bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat kedua-dua buah negara.

Dalam lawatannya, Ismail Sabri turut membincangkan mengenai Lebuh Raya Trans-Borneo Malaysia-Brunei, selain Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada 2011 di peringkat pegawai kanan akan diadakan pada kadar segera.

Turut dibincangkan adalah mengenai isu serantau, seperti situasi di Myanmar dan di Laut China Selatan.

Artikel Berkaitan: