Pusat Pengajian Universiti Oxford Asia Tenggara pemangkin ilmu

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah pada Makan Malam Khas Sempena Perkongsian Strategik Antara Asia Tenggara dan Universiti Oxford di ibu kota. -Foto Bernama
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah pada Makan Malam Khas Sempena Perkongsian Strategik Antara Asia Tenggara dan Universiti Oxford di ibu kota. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah berharap penubuhan Pusat Pengajian Universiti Oxford Asia Tenggara dapat menjadi pemangkin dalam mengembangkan ilmu pengetahuan mengenai rantau ini ke seluruh dunia.

Baginda selaku penaung pusat berkenaan bertitah selain menghasilkan penyelidikan yang cemerlang, baginda berharap pusat itu juga boleh memainkan peranan ke arah menyampaikan hasil penyelidikannya kepada dunia.

"Beta mahu graduan Oxford dan orang awam mempelajari lebih lanjut mengenai penyelidikan cemerlang para sarjana dari rantau ini.

"Ini boleh memberi pencerapan tentang bagaimana pengalaman manusia boleh ditakrifkan dan difahami dari sudut pandangan Asia Tenggara," titah Sultan Nazrin pada majlis santapan malam khas sempena menandakan perkongsian antara Asia Tenggara dan Oxford University di sini, malam ini.

Menurut Sultan Nazrin, penerbitan ilmiah dan kolaborasi akademik antara ahli akademik di Asia Tenggara dan Oxford University akan terus ditingkatkan menerusi penubuhan pusat tersebut. "Ini boleh merangkumi antara inisiatif lain, termasuk penerbitan para sarjana terkemuka ASEAN dalam senarai bacaan pelajar di Oxford, mengantarabangsakan fakulti di sana untuk meliputi sarjana pelawat dari rantau ini, dan meningkatkan kerjasama akademik individu dengan individu antara Oxford dan para sarjana di universiti terbaik ASEAN, " titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong dilantik sebagai penaung pusat itu pada 11 Oktober tahun lepas.

Pusat yang dijangka bertapak sepenuhnya dalam dua hingga tiga tahun akan datang akan menjadi sebahagian daripada Oxford School of Global and Area Studies, mewujudkan fokus khusus untuk kecemerlangan penyelidikan dan pengajian akademik negara-negara ASEAN.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah selain menjadi inovasi revolusioner, pusat itu juga merupakan paparan baru dalam sejarah kerjasama dan hubungan yang telah lama terjalin dan memberi manfaat antara universiti dan Asia Tenggara.

Artikel Berkaitan:

Menurut baginda, dengan memberi tumpuan khusus untuk penyelidikan dan pengajaran kecemerlangan dalam Pengajian Asia Tenggara, Oxford akan memberikan sumbangan penting kepada akademi global. Titah Sultan Nazrin, hanya segelintir universiti di dunia mampu menandingi Oxford daripada segi jangkauan dan kehebatan kepakaran akademik.

"Usaha unggul dan berkaitan Ilmu pengetahuan bersepadu akan meletakkan Asia Tenggara di lubuk hati dengan memberi manfaat kepada rakyat negara-negara ASEAN dan umat manusia sejagat," titah baginda. -Bernama