Buang sisa industri di Klang, pemandu lori ditahan

A
A

SHAH ALAM - Seorang pemandu lori tangki ditahan disyaki terbabit dalam pembuangan sisa industri secara haram di kolam tadahan banjir di Taman Eng Ann, Klang, dekat sini. minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jeram, Kuala Selangor pada jam 4.30 petang ini.

Beliau berkata polis turut merampas lori tangki yang dipercayai digunakan untuk membawa sisa industri berkenaan untuk dibuang.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima tempahan daripada sebuah syarikat bagi melakukan kerja pembuangan sisa berkenaan dan semakan rekod mendapati suspek tiada mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap suspek esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 277 Kanun Keseksaan. Terdahulu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata kerja-kerja pembersihan kolam berkenaan telah selesai semalam.

Sebanyak 28,000 liter sisa industri berkenaan telah kumpul dan disimpan di dalam tangki simpanan sementara sebelum dilupuskan mengikut kaedah yang sesuai.

Pada Khamis lepas, sebanyak 21 bahan dari sisa industri dikesan dibuang ke dalam kolam itu sehingga membawa kepada pencemaran kolam tadahan tersebut. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia