Wajah wira masjid Christchurch diabadikan dalam mural

Artis New Zealand, Paul Walsh mengabadikan wajah wira Masjid Al Noor di Christchurch, Naeem Rashid dalam sebuah mural. - Foto FACEBOOK Paul Walsh
A
A

AUCKLAND - NEW ZEALAND. Wajah seorang lelaki yang maut ketika bergelut dengan pengganas yang melepaskan tembakan rambang di Masjid Al Noor Jumaat lalu, diabadikan dalam bentuk mural oleh artis New Zealand, Paul Walsh.

Walsh melukis wajah Naeem Rashid,salah seorang dari 50 mangsa yang terkorban dalam serangan keganasan yang dilakukan pengganas warga Australia, Brenton Tarrant.

Karya Walsh yang merupakan 'tribute' buat wira berkenaan terletak di kawasan parkir 1925 Great North Rd, di Avondale, Auckland.

Ketika kejadian sekitar jam 1.40 petang (waktu tempatan) itu, Naeem dan anak lelakinya berusia 21 tahun, Talha berada di Masjid Al Noor untuk menunaikan solat Jumaat.

Naeem cuba menghalang Tarrant namun terbunuh ketika cuba menyelamatkan nyawa orang lain, anaknya Talha turut meninggal dunia dalam insiden berkenaan.

Walsh memuat naik gambar muralnya di laman Facebook dan menerangkan warna hijau dan hitam pada latarbelakang mural mewakili Pakistan dan New Zealand, bersatu dalam kesedihan.

"Saya berharap saya tidak mengenali siapa Naeem, saya berharap dia masih bekerja sebagai guru pada hari ini dan saya berharap saya melukis wajah orang lain.

"Namun tindakan seorang pengecut mengubah segala-galanya, dan saya hanya mampu memberi penghargaan kepada warga New Zealand yang tidak dapat pulang ke rumah Jumaat lalu, dengan cara saya sendiri," tulis Walsh sambil menambah hero berkenaan tidak akan dilupakan. - NZHERALD


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia