Mangsa cedera parah Lombok lepasi tahap kritikal

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan Shen Pek Chan, seorang mangsa yang cedera parah dalam kejadian gempa bumi dan tanah runtuh di Lombok, semalam, dilaporkan telah melepasi tahap kritikal setelah menjalani pembedahan otak di Hospital Lombok hari ini.

Adik mangsa, Maygen Chen berkata dua anak mangsa juga telah tiba di Lombok untuk menemani ibu mereka yang berusia 56 tahun itu.

Bagaimanapun, kami belum pasti bila akan pulang ke tanahair, katanya ​​​​​​ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Beliau berkata ahli keluarganya terperanjat dan bimbang apabila mengetahui bahawa kejadian gempa bumi melanda Lombok dan kawasan peranginan berkenaan turut terjejas. "Saya sememangnya ingin menemani kakak dalam rombongan itu, tetapi saya tidak larat nak masuk ke kawasan pedalaman, jadi terpaksa lupakan hasrat itu," katanya.

Dua rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian itu ialah Lim Sai Wah, 56 dan Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif akhbar Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim, 56.

Selain dua yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, Wisma Putra hari ini turut mengesahkan tujuh mangsa mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Lombok manakala 13 lagi terselamat.

Kesemua 22 warga Malaysia itu dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa berukuran 5.8 pada skala Richter menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada jam 2.07 petang semalam. -Bernama

Artikel Berkaitan: