ACL 2022: Kelebihan besar buat JDT di laman sendiri

JDT mempunyai kelebihan besar pada kempen ACL 2022 apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi perlawanan Kumpulan I.
JDT mempunyai kelebihan besar pada kempen ACL 2022 apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi perlawanan Kumpulan I.
A
A
A

JUARA Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai kelebihan besar pada kempen Liga Juara-Juara AFC 2022 (ACL) apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi perlawanan Kumpulan I yang dijadualkan pada 15 hingga 30 April depan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Rabu mengumumkan Johor Bahru sebagai penganjur perlawanan berpusat bagi Kumpulan I sekali gus memberi kelebihan kepada skuad Harimau Selatan di tempat sendiri dalam melengkapkan kesemua enam perlawanan kumpulan.

JDT selaku juara Liga Super lapan kali berturut-turut diundi dalam Kumpulan I bersama juara Liga Jepun Kawasaki Frontale, Guangzhou FC (China) dan pemenang perlawanan play-off antara Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Port FC (Thailand).

AFC dalam kenyataan mengesahkan perlawanan berpusat bagi tiga kumpulan - F, G dan J - berlangsung di tiga ibu kota berbeza iaitu di Buriram, Bangkok dan satu lagi bandar akan dimaklumkan dalam masa terdekat, manakala perlawanan kumpulan H dijadual diadakan di Ho Chin Minh, Vietnam.

Kesemua lima kumpulan bertanding dalam Zon Timur.

Pada masa sama, AFC memaklumkan penganjur perlawanan berpusat peringkat kumpulan bagi Zon Barat akan diumumkan selepas dimuktamadkan kelak.

Musim 2022 adalah penampilan keempat skuad Harimau Selatan dalam saingan ACL selepas kali pertama berentap dalam kejohanan berprestij Asia pada 2019.

Pada musim lepas, skuad di bawah kendalian Benjamin Mora itu menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan G, di belakang Nagoya Grampus dari Jepun dan naib juara Pohang Steelers dari Korea Selatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: