[VIDEO] Pemandu Myvi langgar lampu isyarat depan sekolah disaman

Tangkap layar video yang tular pada Selasa memaparkan pemandu Perodua Myvi melanggar lampu isyarat sehingga nyaris merempuh seorang murid di depan SK Seri Budiman di Kuala Terengganu.
Tangkap layar video yang tular pada Selasa memaparkan pemandu Perodua Myvi melanggar lampu isyarat sehingga nyaris merempuh seorang murid di depan SK Seri Budiman di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu Perodua Myvi disaman gara-gara melanggar lampu isyarat di hadapan sekolah sehingga nyaris merempuh seorang murid di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman di sini pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ismail Man berkata, pemandu wanita itu disaman di kawasan Batu Buruk, di sini kira-kira jam 4.10 petang pada hari yang sama.

"Sepasukan anggota JSPT mengesan pemandu kenderaan itu di kawasan Batu Buruk dan satu saman dikeluarkan mengikut Rule 17 LN 167/59.

"Polis sentiasa peka dan komited dalam memastikan peraturan lalu lintas dipatuhi sepenuhnya oleh semua pengguna jalan raya bagi mengelak sebarang kemalangan dan kecelakaan di samping memastikan kedaulatan undang-undang terus terpelihara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Ismail, tindakan saman diambil susulan video tular di media sosial pada Selasa yang memaparkan tindakan pemandu berkenaan yang merupakan suri rumah tidak memberhentikan kereta sebaik tiba di lampu isyarat.

Video berdurasi enam saat itu mendapat kecaman ramai malah rata-rata netizen menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap pemandu kenderaan berkenaan.

Artikel Berkaitan: