Bazar Ramadan beroperasi seperti biasa: DBKL

Bazar Ramadan Kampung Baru antara tarikan warga kota membeli juadah berbuka puasa.
Bazar Ramadan Kampung Baru antara tarikan warga kota membeli juadah berbuka puasa.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Bazar Ramadan di ibu kota akan beroperasi seperti biasa dan sebarang perubahan adalah tertakluk kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberitahu, proses permohonan dan undian tapak bagi bazar di bawah seliaan DBKL melibatkan Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Bazar Ramadan di tempat letak kereta Taman Tasik Permaisuri telah selesai pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, lokasi bazar Aidilfitri kekal di Lorong TAR melibatkan jumlah 216 petak niaga manakala tempat letak kereta Taman Tasik Permaisuri sebanyak 160 petak.

"Setakat ini tiada sebarang prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang dikeluarkan oleh MKN.

"DBKL akan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN seperti pemakaian pelitup muka, mengimbas MySejahtera dan menetapkan penjarakan fizikal antara gerai penjaja sebanyak satu meter sebagaimana pelaksanaan SOP bazar pada tahun lepas," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, sebarang perubahan SOP adalah tertakluk kepada arahan yang ditetapkan oleh MKN dari semasa ke semasa dan pematuhan ini terpakai kepada peniaga serta pengunjung.

Mengulas lanjut, jumlah petak bazar Ramadan yang ditawarkan kepada peniaga pada tahun ini juga tidak menunjukkan perubahan ketara seperti tahun lepas.

"Kesemua petak di bawah seliaan DBKL telah dibuat pengisian dan tiada perbezaan ketara jumlah petak pada tahun lepas yang ditawarkan kepada peniaga.

"Bagi bazar di bawah seliaan penganjur pula melibatkan 60 lokasi merangkumi 4,236 peniaga. Jumlah lokasi adalah sama seperti tahun lepas dan kebanyakan lokasi merupakan tapak tradisi," katanya.

Artikel Berkaitan: