TM masih kekal penaja utama FAM

Hamidin -Foto Bernama
Hamidin -Foto Bernama
A
A
A

ISU penajaan melibatkan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menjejaskan hubungan syarikat telekomunikasi itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perjanjian penajaan TM kepada FAM setakat ini masih kekal sehingga 2020

"FAM memang sudah lama dengan TM, jadi penajaan terus berkekalan sehingga 2020,” katanya ringkas pada sidang media, di sini, hari ini.

Hamidin menjelaskan TM sudah menaja badan induk itu sejak 2000, namun menjadi penaja utama bermula 2005.

Baru-baru ini, MFL mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak dengan TM selepas penaja utama Liga Malaysia (Liga-M) itu gagal menjelaskan pembayaran hak penyiaran musim ini. Keputusan itu dibuat selepas mendapat kata sepakat Anggota Lembaga Pengarah dalam satu mesyuarat bersama Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, Hamidin menjelaskan berhubung pencalonannya bagi jawatan Exco Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) adalah untuk kebaikan bola sepak negara.

"Saya turut ditawarkan sebagai (calon) Naib Presiden AFC, namun saya lebih memilih untuk jawatan Exco sahaja. Keutamaan saya adalah menerajui FAM, tetapi apabila saya akan dicalonkan, ia menunjukkan Malaysia dihormati," katanya.

AFC sebelum ini mengesahkan lima jawatan Naib Presiden bakal menjadi rebutan menyaksikan Hamidin menjadi seorang daripada empat calon dari rantau Asia Tenggara pada pemilihan yang akan berlangsung bulan depan.

Artikel Berkaitan:

Tiga lagi calon untuk merebut jawatan itu ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Somyot Poompanmoung; Dr Tran Quoc Tuan (Anggota Jawatankuasa Persekutuan Bola Sepak Vietnam) dan Zaw Zaw (Presiden Persekutuan Bola Sepak Myanmar). -Bernama