Gaji minimum: Rakyat mungkin dapat khabar buruk

Rakyat mungkin tidak akan mendapat khabar gembira berhubung penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini. - Gambar hiasan
Rakyat mungkin tidak akan mendapat khabar gembira berhubung penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun negara sedang memasuki fasa endemik namun ekonomi dalam negara masih tidak stabil dan terdapat sesetengah industri yang belum bersedia untuk bangun semula akibat terkesan pandemik Covid-19.

Disebabkan situasi tersebut, rakyat mungkin tidak akan mendapat khabar gembira berhubung penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Ia kerana dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi di negara ini, pelaksanaan kenaikan gaji berkenaan dilihat tidak sesuai untuk dilakukan pada masa sekarang.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang berpandangan bahawa ia bukanlah masa yang sesuai untuk melaksanakan penetapan gaji minimum itu.

Kata beliau, berdasarkan laporan di Parlimen pada tahun 2020 dan 2021, sebanyak 37,000 syarikat terpaksa gulung tikar akibat penularan wabak Covid-19.

Ujarnya, hal itu menyebabkan kira-kira 107,000 dan 61,000 pekerja telah diberhentikan kerja masing-masing pada tahun 2020 dan 2021 manakala kira-kira 6,000 pekerja hilang pekerjaan setakat Januari 2022.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan baru-baru ini mengumumkan gaji minimum RM1,500 sebulan dijangka akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Jelasnya, kadar baharu itu belum dimuktamadkan kerana kementerian sedang menunggu kelulusan kabinet dan menyatakan isu itu perlu diselesaikan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Tidak dinafikan bahawa kenaikan gaji minimum mampu memberi manfaat kepada pekerja-pekerja di negara ini.

Walau bagaimanapun, keadaan tersebut secara tidak langsung akan mendatangkan implikasi buruk kepada perkembangan syarikat serta pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini dijangka mengakibatkan lebih banyak syarikat dan usahawan mengalami kerugian dan seterusnya terpaksa gulung tikar.

Sekiranya benar perkara tersebut, maka adalah lebih baik kerajaan mengambil langkah proaktif dalam mengkaji mengenai pelaksanaan tersebut dan menyediakan solusi atau inisiatif untuk permasalahan itu.

Sudah tentu kalau hendak menanti sehingga ekonomi negara baik sepenuhnya, mungkin penetapan gaji minimum itu tidak akan berlaku sampai bila-bila.

Perlu diingatkan bahawa kadar gaji minimum perlu dipertimbangkan kerana peningkatan kos sara hidup semasa dan inflasi.

Rakyat semakin tertekan dan terhimpit. Paling kurang, dengan kenaikan gaji minimum, ia mampu memberi dorongan dan motivasi kepada rakyat untuk meneruskan hidup dan mampu untuk membeli barangan keperluan.