Dua entiti hanya pecah belah komuniti takraw

Laporan Sukan Sinar pada Isnin lalu. Gambar kanan: Mohd Yusoff
Laporan Sukan Sinar pada Isnin lalu. Gambar kanan: Mohd Yusoff
A
A
A

PENUBUHAN Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) yang diluluskan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) disifatkan sebagai satu tindakan kurang bijak dalam mengakhiri kemelut berpanjangan sukan sepak takraw negara.

Malah pengasas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tan Sri Mohd Yusoff Latiff menegaskan PJS sepatutnya menjalankan tugas untuk menyatupadukan semua pihak yang terlibat dalam sukan sepak takraw ini dan bukannya memecahbelahkan dalam kalangan mereka dengan meluluskan entiti baharu itu.

“Saya berdukacita dengan tindakan PJS meluluskan permohonan penubuhan MSC. Saya anggap penubuhan ini hanya akan memecah belahkan komuniti sepak takraw tanah air.

“Saya tidak rasa dengan adanya entiti baharu yang masih belum diiktiraf oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) mahupun Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dapat menyelesaikan kemelut yang melanda sukan tersebut ketika ini.

“Sepatutnya tugas PJS adalah untuk menyatupadukan semula komuniti sepak takraw demi pembangunan masa depan sukan tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sukan Sinar sebelum ini melaporkan PJS, Ibrahim Mohd Yusof mengesahkan pihaknya telah meluluskan penubuhan MSC selepas meneliti permohonan dikemukakan jawatankuasa penaja entiti baharu tersebut.

Mengulas lanjut Mohd Yusoff berkata, kewujudan dua badan induk sepak takraw itu tidak mendatangkan faedah kepada perkembangan sukan warisan itu, sebaliknya penubuhan MSC itu seolah-olah akan menguburkan sejarah PSM yang sebum ini merupakan antara persatuan yang berjaya membawa sukan sepak takraw ke mata dunia.

“Apabila kita wujudkan satu lagi badan induk yang baharu ia secara tidak langsung akan menyebabkan PSM itu terkubur kerana saya difahamkan ada beberapa ahli gabungan akan keluar.

Artikel Berkaitan:

“PSM ini penuh dengan sejarah yang mana persatuan ini yang membawa sukan sepak takraw ini ke mata dunia. Kalau kita kuburkan PSM kita akan kuburkan juga sejarahnya.

“Lagipun mana boleh ada dua badan induk sukan dalam sebuah negara. Ia hanya akan menyebabkan pecah belah di antara pemain sukan itu. Akhirnya yang akan rugi adalah kita sendiri kerana gagal membangunkan sukan warisan kita,” katanya.