Sila log masuk terlebih dahulu.

Pilihan raya on, balik raya jangan tak on!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor akan berlangsung tidak lama lagi.

Ramadan dan Syawal pula akan menyusul.

Negara pula masih dibelenggu wabak Covid-19 yang tidak berkesudahan.

Sejak dua tiga hari ini, rakyat kembali berkongsikan statistik kes harian Covid-19 apabila bilangannya mula menunjukkan angka yang membimbangkan.

Nampaknya ramai mula risau apabila kadar jangkitan kembali mencecah puluhan ribu, malah ada yang trauma selepas sekian lama berkurung di dalam rumah serta larangan rentas daerah dan negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes Covid-19 meningkat kepada 21,315 kes berbanding 21,072 kes berbanding Ahad.

Rentetan peningkatan kes yang dilaporkan itu, rata-rata netizen di media sosial khuatir jika mereka sekali lagi berdepan dengan pelaksanaan PKP yang akhirnya menyaksikan sekali lagi umat Islam di negara ini terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan buat kali ketiga berturut-turut.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang mendakwa keberkesanan dos penggalak dalam mengawal jangkitan Covid-19 masih kurang memuaskan.

Artikel Berkaitan:

Meskipun sudah ada yang menerima dos penggalak, tetapi kes terus meningkat saban hari.

Siapakah yang patut dipersalahkan? Adakah rakyat, atau kerajaan yang didakwa gagal menangani penularan wabak ini.

Rakyat juga bimbang kemungkinan PRN Johor yang berlangsung pada 12 Mac depan iaitu kurang sebulan sebelum umat Islam menyambut Ramadan, akan menjadi penyebab kes Covid-19 terus melonjak.

Ada gesaan agar PRN Johor ditangguhkan bagi memberi ‘nafas' kepada rakyat yang baru nak pulih daripada masalah bencana alam dan Covid-19.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu-satunya kaedah menangguhkan PRN Johor adalah menerusi pengisytiharan darurat yang mana ia tidak mungkin berlaku.

Justeru, PRN Johor tidak boleh ditangguhkan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tarikh pengundian sudah diumumkan.

Persoalannya, yakinkah kita tidak kembali ‘dikurung' selepas selesainya PRN Johor nanti?

Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini sedikit sebanyak melegakan.

Kerajaan tidak akan kembali melaksanakan PKP mahupun darurat walaupun kes Covid-19 meningkat.

Jika dilakukan semula sekatan pergerakan dan penutupan sektor ekonomi, ia akan menyebabkan rakyat terus tertekan.

Sehubungan itu, jika kes Covid-19 meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja.

Rakyat kini perlu membiasakan diri hidup dengan Covid-19 sebagaimana penyakit mudah berjangkit lain, tetapi dalam masa sama menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan bahawa rakyat Malaysia berpeluang untuk menyambut Aidilfitri sekiranya terdapat penurunan kes jangkitan Covid-19 membabitkan varian Omicron dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

Berikutan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar memainkan peranan dengan menjaga tingkah laku seperti melakukan ujian kendiri Covid-19 termasuk mendapatkan dos penggalak dengan segera.

Mungkin kita bimbang melihat kes Covid-19 meningkat, bagaimanapun kita sepatutnya lebih bimbang sekiranya rakyat Malaysia terus leka dengan mengabaikan SOP.

Sekarang pun masih ada yang berani berhimpun di tempat tertutup, tidak mematuhi penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, malah ada yang ‘malas’ mengimbas MySejahtera.

Oleh itu, penulis berharap rakyat Malaysia terutama yang berkempen pada PRN Johor nanti, teruslah mematuhi SOP yang telah digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sentiasalah beringat bahawa Covid-19 masih berlegar dan kita masih belum menang.

Jangan pula disebabkan pilihan raya, kita tak boleh pulang beraya di kampung pada Aidilfitri nanti.

* Farina Rauf ialah Wartawan Penyiaran Digital Sinar Harian