Kerajaan perlu agresif sebar maklumat vaksin Covid-19

Dr Zainal (kanan, bawah) ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi ke-323 bertajuk 'Takut booster atau takut Covid-19' pada Selasa.
Dr Zainal (kanan, bawah) ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi ke-323 bertajuk 'Takut booster atau takut Covid-19' pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk lebih agresif menyebarkan maklumat mengenai kebaikan vaksin Covid-19 bagi menyekat dakyah anti vaksin yang boleh mempengaruhi pendirian masyarakat.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin berkata, pengamal perubatan juga perlu memainkan peranan dalam membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberikan penjelasan sekiranya isu melibatkan vaksin Covid-19 disalah tafsir masyarakat.

"Kita kena sedar apa yang dibangkitkan oleh masyarakat itu adalah satu kegusaran. Mereka takut, jadi kena terima hakikat. Justeru tanggungjawab kita adalah untuk membetulkan keadaan.

"Kerajaan perlu memberi maklumat secepat mungkin apabila sesuatu isu mengenai kesan vaksin diperkatakan, jangan biarkan masyarakat tunggu lama untuk dapatkan penjelasan kerana akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan mereka.

"Kumpulan antivaksin dan golongan yang masih ragu-ragu mengenai vaksin kini begitu agresif untuk mempromosikan idea mereka, justeru akan memberi kesan kepada orang ramai sekali gus menjejaskan keupayaan negara untuk keluar daripada pandemik ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi ke-323 bertajuk 'Takut booster atau takut Covid-19' pada Selasa yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan pakar jantung Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Akbar Onn Akbar Ali dan selebriti, Irma Hasmie Ibrahim manakala Khairil Amri bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu Zainal turut menyarankan kerajaan melaporkan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) secara telus bagi mengurangkan keraguan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka menerima vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Artikel Berkaitan:

"Kita boleh memberi vaksin kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun tetapi mereka mempunyai hak untuk berbincang dengan pakar-pakar perubatan yang dipercayai untuk jalankan analisis.

"Masa akan datang kita juga diberi pilihan sama ada mahu vaksin Comirnaty Concentrate for Dispersion daripada Pfizer-BioNTech atau Sinovac yang sedang dipertimbangkan untuk diberi kepada kanak-kanak.

"Justeru selepas ini KKM perlu mempertingkatkan usaha menyebarkan maklumat mengenai pra vaksinasi, pasca vaksinasi dan laporkan data AEFI secara berkala," ujarnya.