KPM beri amaran pengetua sekolah asingkan kelas ikut agama

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengetua sebuah sekolah menengah di sini diberikan amaran dan peringatan, berikutan tindakan beliau melakukan pengasingan kelas mengikut agama bagi pelajar tingkatan satu di sekolah tersebut.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Amin Senin berkata, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah menjalankan siasatan berhubung satu laporan mengenai perkara tersebut, dan didapati ianya berasas.

"Pengurusan sekolah juga telah diarah membuat tindakan pembetulan segera dengan merombak semula pengagihan murid di kelas berkaitan. Penyusunan semula jadual waktu bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral turut dilaksanakan serentak bagi semua kelas tingkatan satu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini malam ini.

Amin turut mengingatkan semua pengetua dan guru besar supaya lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat dalam melaksanakan pengurusan dan pentadbiran di sekolah.

"Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan membuat pemantauan berterusan ke atas semua sekolah bagi memastikan kejadian ini tidak berulang," katanya.

Pada awal bulan ini, satu petisyen dibuat gabungan ibu bapa pelajar tingkatan satu sekolah tersebut mendakwa bermula Januari lepas, pengetua sekolah telah mengasingkan kelas tingkatan satu mengikut agama, dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia. -Bernama

Artikel Berkaitan: