Kedah mohon turut serta perancangan pembukaan semula sempadan

Sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam. (Gambar Kecil) Muhammad Sanusi
Sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam. (Gambar Kecil) Muhammad Sanusi
A
A
A

PENDANG - Kerajaan negeri Kedah telah mengemukakan hasrat kepada kerajaan Persekutuan untuk turut serta dalam perancangan pembukaan semula sempadan Malaysia-Thailand.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berikutan pembukaan semula sempadan itu turut melibatkan kawasan Bukit Kayu Hitam di sini yang bersempadan dengan Sadao, Thailand

Katanya, pembukaan semula sempadan itu dipercayai akan menggunakan konsep gelembung pelancongan seperti di Langkawi sebelum ini.

"Keputusan semua di peringkat Persekutuan, cuma di peringkat negeri kita mohon untuk turut serta khusus bagi sempadan Malaysia-Thailand di sini saja," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan tapak Projek Estate Management Model (EMM) 2.0 di Kampung Asam Jawa di sini pada Selasa.

Menurutnya, pelaksanaan pembukaan sempadan terbabit mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri yang perlu dipatuhi.

"Tadi saya ada baca satu 'paper' tetapi saya pun belum difahamkan dengan lebih lanjut.

"Ia seolah-olah gelembung pelancongan, maksudnya pelancong tidak boleh merentas dengan kenderaan persendirian dan ada pengangkutan tertentu yang dibenarkan," katanya.

Pada Isnin, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) optimis Malaysia dapat membuka pintu sempadan negara dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pembukaan sempadan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada negara jiran dan negara Asia.

Pada masa yang sama, kerajaan Thailand turut mengeluarkan kenyataan bahawa merancang membuka semula sempadan Thailand-Malaysia pada Mac untuk meningkatkan ketibaan pelancong.

Ini memandangkan pelancong Malaysia adalah kumpulan terbesar yang mengunjungi negara itu sebelum pandemik Covid-19.