Modul ‘fast track’ hafazan al-Quran efektif

Ahmad Samsuri (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang sempena Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) kali pertama yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.
Ahmad Samsuri (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang sempena Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) kali pertama yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengalu-alukan usaha Akademi al-Quran Amalillah (Akmal) memperkenalkan kaedah baharu yang lebih sistematik (fast track) bagi hafazan 30 juzuk al-Quran yang hanya mengambil masa dalam tempoh setahun.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kaedah asuhan al-Quran itu sesuai dipraktikkan kepada pelajar pada usia awal remaja kerana ketika itu pemikiran, emosi dan perasaan mereka masih bersih.

“Kita menyambut baik usaha dalam memperkasakan pendidikan dan hafalan al-Quran kerana ia akan membentuk jiwa anak-anak kita bagi berdepan cabaran lebih besar pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri begitu terbuka dengan apa jua modul yang ada digunakan bagi memberikan yang terbaik dalam pembentukan sahsiah diri pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah kali pertama yang turut dihadiri Pengasas & Pengerusi Eksekutif Akmal, Hussin Ismail di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau berharap sistem pembelajaran ‘fast track’ hafalan al-Quran boleh diterokai bagi pembelajaran lain.

“Saya harap, kaedah ini boleh juga digunakan bagi hafalan hadis dan dalam akademik serta ke peringkat pengajian tertinggi dalam pelbagai bidang bagi melahirkan ulama dan profesional berteraskan al-Quran dan as-Sunah.

“Al-Quran adalah kalamullah yang tiada sebarang kesilapan padanya, terhimpun di dalamnya segala hujah dan punca sumber segala ilmu. Membaca, menghafal memahami dan mengajarnya dijanjikan kemuliaan di sisi ALLAH,” katanya

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 20 pelajar cemerlang diraikan selepas berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk al-Quran mengikut modul ‘fast track’ yang diperkenalkan di pusat pengajian itu.