‘Taufiq masih ahli PKR, Ketua Penerangan AMK Johor’

Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kanan: Yuneswaran)
Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kanan: Yuneswaran)
A
A
A

SHAH ALAM – Isu peletakan jawatan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail pada Isnin telah selesai dan hanya berlaku salah faham dalam cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, R Yuneswaran telah menghubungi Mohamad Taufiq dan menolak peletakan jawatan tersebut.

“Surat peletakan jawatan itu telah diterima dan diteliti. Isu peletakan jawatan Mohamad Taufiq sudah selesai dan tidak perlu dipanjangkan.

“Sikit salah faham sahaja pada peringkat cabang PKR, bukan sebab tidak dapat calon, perebutan kerusi atau sebagainya.

“Saya dah minta beliau selesaikan dengan baik dan Mohamad Taufiq sahkan sehingga kini masih ahli PKR dan Ketua Penerangan AMK Johor,” katanya kepada Sinar Harian sebentar tadi.

Yuneswaran berkata, setakat ini Mohamad Taufiq positif dan komited untuk terus bersama AMK dan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Sebelum ini, Mohamad Taufiq mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan AMK Johor berkuat kuasa serta-merta pada Isnin.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Mohamad Taufiq memaklumkan turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan AMK Johor atas segala tunjuk ajar dan kepercayaan diberi sepanjang tempoh menjawat jawatan berkenaan.

"Saya berharap AMK Johor akan terus maju ke hadapan dalam memenangi isu rakyat dan menjayakan agenda reformasi parti," katanya.