Rangnick belum cadang lucutkan jawatan kapten Maguire

Ralf Rangnick
Ralf Rangnick
A
A
A

PENGENDALI sementara Manchester United, Ralf Rangnick masih belum bercadang untuk melucutkan jawatan kapten Harry Maguire susulan prestasi buruk yang ditampilkannya sejak kebelakangan ini.

Menurut Rangnick, masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi pemain berusia 28 tahun itu yang menyertai United dari Leicester City dengan harga £80 juta pound (RM453.4 juta).

"Saya akui dalam dua perlawanan lalu, dia (Maguire) agak bergelut untuk memberi persembahan yang terbaik. Bagaimanapun, dia bermain dengan sangat baik selepas pulih daripada kecederaannya.

"Jadi saya tidak nampak sebab untuk melucutkan jawatan dia sebagai kapten. Dia seorang pemain yang perlu berkembang, menjadi lebih baik seperti semua pemain lain," katanya.

Sebelum ini, Maguire dikecam teruk selepas gagal menjaga pertahanan Red Devils dengan baik dan terbaharu ketika seri menentang Burnley dan Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Untuk rekod, Maguire telah membuat lebih daripada 100 penampilan dalam semua pertandingan untuk United dan dilantik kapten kelab tersebut pada Januari 2020 oleh bekas pengurus Ole Gunnar Solskjaer.

"Cara kami bermain sekarang juga baharu baginya (Maguire) kerana dalam pasukan kebangsaan Inggeris dia sudah biasa bermain sebagai tiga bek dan di Manchester United kebanyakan perlawanan ialah bek berempat.

“Sistem bek berempat menyebabkan pertahanan itu akan sentiasa berada di hadapan apabila kami cuba bertahan... Ini juga sesuatu yang baharu baginya dan akan mengambil sedikit masa untuk dia menyesuaikan diri dengan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

United kini berada di tangga kelima liga dengan 40 mata selepas 24 perlawanan, ketinggalan satu mata di belakang pasukan di tangga keempat West Ham.