Lelaki Perancis tersangkut lima jam atas pokok

Lelaki yang melakukan aktiviti paragliding tersangkut di atas pokok diselamatkan pasukan bomba. - Foto Bomba
Lelaki yang melakukan aktiviti paragliding tersangkut di atas pokok diselamatkan pasukan bomba. - Foto Bomba
A
A
A

RANAU - Seorang lelaki warga Perancis terjatuh dan tersangkut di atas pokok selama hampir lima jam ketika melakukan aktiviti paragliding di kawasan Kiau View Trail, Taman Sabah, Gunung Kinabalu di sini pada Isnin.

Lelaki berusia 54 tahun itu tersangkut di atas pokok pada ketinggian lebih 18 meter sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.52 pagi.

"Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 20 kilometer dari balai bomba.

"Mangsa berjaya diturunkan pada jam 3.56 petang dengan menggunakan sistem tali penyelamat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serta tidak memerlukan rawatan lanjut.

"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.48 petang," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Misran berkata, seorang lelaki warga Perancis yang turut melakukan aktiviti paragliding cedera selepas terlanggar permukaan gunung di kilometer 7.5 Gunung Kinabalu.

Beliau berkata, bilik kawalan BBP Ranau menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.39 pagi membabitkan seorang lelaki cedera di bahagian kaki kiri ketika melakukan aktiviti paragliding.

"Mangsa cedera akibat terlanggar permukaan gunung dan diberi rawatan awal oleh pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar).

"Mangsa seterusnya dibawa turun menggunakan alat robinson stretcer sehingga ke Pondok Timpohon.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa dihantar ke Hospital Ranau menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 5.18 petang," katanya.