Nelayan mungkin didakwa semula kerana miliki pistol, cubaan bunuh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang nelayan mungkin didakwa semula atas kesalahan memiliki pistol dan cubaan membunuh selepas Mahkamah Rayuan pada Isnin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam melepas dan membebaskan Goh Hwa Kiang, 41.

Hanipah yang bersidang bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Nordin Hassan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Hwa Kiang daripada pertuduhan tersebut.

Hanipah berkata, dalam satu keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini menyatakan bahawa, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan seseorang tertuduh tanpa mendengar kesemua keterangan daripada pihak pendakwaan.

Berikutan keputusan itu, Hwa Kiang kini boleh didakwa semula atas kesalahan tersebut.

Hwa Kiang, didakwa pada 29 September 2018 kerana memiliki pistol Smith and Wesson di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan juga atas cubaan membunuh K Kalidass.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di hadapan sebuah rumah di Batu ¾, Jalan Pantai Tanjung, Piandang, Kerian, Perak pada 2.15 pagi 19 Julai 2018.

Pada 13 Julai 2020, Mahkamah Sesyen menjatuhkan DNAA kepada Goh selepas pendakwaan mengemukakan empat saksi termasuk pegawai penyiasat.

Hwa Kiang kemudiannya memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi, di mana pada 24 Februari 2021, dia diberikan perintah dilepas dan dibebaskan, yang bermakna beliau tidak lagi boleh didakwa atas kesalahan yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraaf Zubir berhujah bahawa pendakwaan tidak memohon DNAA terhadap Hwa Kiang di Mahkamah Sesyen.

Artikel Berkaitan:

Malah beliau berkata, pendakwaan hanya memohon penangguhan perbicaraan kerana saksi tidak boleh disepina berikutan perubahan pegawai penyiasat, dan menambah bahawa pegawai yang mengambil alih kes itu terlepas pandang perkara itu.

Zaki Asyraf berkata itulah pertama kali saksi pendakwaan tidak hadir di mahkamah.

Peguam Hwa Kiang, Datuk Naran Singh berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebas Hwa Kiang daripada tuduhan itu kerana saksi pendakwaan utama telah memberikan keterangan. - Bernama