Ditahan sebelum sempat joli hasil rompak kedai emas

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BATU PAHAT - Polis menahan sepasang suami isteri dan seorang rakannya selepas memecah masuk kedai emas di Bandar Batu Pahat di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Assisten Komisioner Ismail Dollah berkata, ketiga-tiga suspek ditahan tidak sampai 24 jam mereka melakukan jenayah tersebut.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima laporan pada jam 2 petang menyatakan premis membeli dan menjual emas dipecah masuk.

"Siasatan mendapati beberapa barang kemas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM55,000 telah hilang daripada simpanan

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati kejadian dipercayai berlaku jam 4 pagi membabitkan dua suspek memecah masuk melalui pintu hadapan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ismail berkata, hasil maklumat awam, polis mengesan dan menangkap ketiga-tiga suspek berumur antara 20 hingga 26 tahun dalam serbuan di Kampung Kenangan Dato Onn Batu Pahat dan Taman Putera Indah, Tokang Pechah antara jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam.

"Hasil serbuan polis turut merampas beberapa cincin, subang dan rantai emas serta wang tunai RM8,415.

"Semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.