Covid-19: 21,315 kes baharu, 99.59 peratus kategori satu, dua

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 21,315 lagi kes Covid-19 baharu direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif 3,061,550 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 21,228 kes atau 99.59 peratus adalah kategori satu dan dua.

“Selebihnya 87 kes (0.41 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lebih lanjut mengenai kes kategori tiga hingga lima, beliau berkata, 48 kes merupakan kategori tiga, 23 kes kategori empat dan 16 kes kategori lima.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes harian itu, 81 kes merupakan kes import yang melibatkan 47 warganegara dan 34 bukan warganegara.

Katanya, kes tempatan pula melibatkan 21,234 kes iaitu 20,551 warganegara (96.8 peratus) dan 683 bukan warganegara (4.2 peratus).

“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ialah 199 kes dengan 94 kes disahkan Covid-19 manakala 105 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 115 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 47 kes disahkan Covid-19 manakala 68 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, sebanyak 8,517 kes sembuh pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh ialah 2,860,954.