5,410 pelajar UMK kembali ke kampus 20 Mac ini

Seramai 5,410 daripada 11,436 pelajar UMK bagi sidang akademik 2021/2022 akan kembali mengikuti pengajian secara fizikal di kampus bermula 20 Mac depan.
Seramai 5,410 daripada 11,436 pelajar UMK bagi sidang akademik 2021/2022 akan kembali mengikuti pengajian secara fizikal di kampus bermula 20 Mac depan.
A
A
A

BACHOK - Seramai 5,410 daripada 11,436 orang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi sidang akademik 2021/2022 akan kembali mengikuti pengajian secara fizikal di kampus bermula 20 Mac depan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMK, Prof Dr Razli Che Razak berkata, proses kemasukan secara berperingkat-peringkat itu melibatkan kampus UMK di Bachok, Pengkalan Chepa dan Jeli.

"Kemasukan pelajar berdasarkan kepada kapasiti 70 hingga 100 peratus selaras dengan saranan Bilik Gerakan Covid-19 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, kemasukan pelajar mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu melibatkan penjarakan fizikal dan kuarantin bagi memastikan kelancaran kemasukan pelajar.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 3,924 pelajar akan menginap di kolej dan 1,486 pelajar lagi di luar kolej.

Razli berkata, UMK juga akan terus mengadakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid sepanjang semester ini dan pihak fakulti telah sedia maklum SOP dalam pengendalian kuliah, makmal atau aktiviti klinikal.

"Aktiviti luar kelas seperti sukan dan riadah, UMK turut menyediakan SOP terkini berpandukan arahan yang ditetapkan oleh KKM. Namun, SOP ini akan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa sesuai dengan tahap pandemik yang melanda negara.

"Hebahan kesihatan juga akan turut sentiasa diadakan bagi memastikan pelajar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh pengajian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMK Kampus Kota, Larrynson Joanis @ Oyok menyambut baik keputusan kementerian membenarkan kemasukan pelajar pada Mac depan.

Belia berkata, pelaksanaan kemasukan semula di kampus banyak memberikan manfaat kepada pelajar dalam aspek fasiliti dan kemudahan yang lengkap kepada pelajar untuk mengikuti pembelajaran di kampus.

"Sebahagian pelajar juga memerlukan suasana persekitaran kampus yang baik, kondusif yang mampu memastikan para pelajar dapat fokus dan melaksanakan setiap tugasan dengan baik.

"Pembelajaran di kolej adalah lebih merangsang kepada proses perkembangan intelektual pelajar khususnya untuk aktiviti pembelajaran secara berkumpulan untuk berbincang segala persoalan dan permasalahan ketika belajar," katanya.

Menurutnya, kemasukan secara fizikal ke kampus merupakan sebuah pendekatan yang baik dan wajar di ambil oleh pihak pengurusan universiti.