14 PPV untuk PICKids dibuka di Pulau Pinang

Norlela (kiri) mencuba alat peranti ECG mudah alih ketika merasmikan Majlis Perasmian Kursus NRUSH 2.0 pada Isnin.
Norlela (kiri) mencuba alat peranti ECG mudah alih ketika merasmikan Majlis Perasmian Kursus NRUSH 2.0 pada Isnin.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Sebanyak 14 lagi pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di negeri ini.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, sehingga kini, sebanyak tujuh PPV dibuka selepas program suntikan vaksin bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula pada 7 Februari lalu.

Menurutnya, 14 PPV berkenaan dibuka bagi mempercepatkan proses suntikan bagi golongan kanak-kanak di Pulau Pinang.

"Perincian mengenai 14 PPV baharu ini akan dimaklumkan kelak, namun maklumat yang saya terima, ia melibatkan di setiap daerah. Pada permulaan, kita hanya buka dua iaitu di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya.

"Selepas itu, lima lagi PPV dibuka iaitu Tapak Pesta Sungai Nibong; Dewan Sunshine Bayan Baru; Sunshine Bertam; Tapak Ekspo Seberang Jaya dan Dewan MPKK Bandar Cassia," katanya pada Majlis Perasmian Kursus 2nd Northern Region Ultrasound Handheld Course (NRUSH 2.0) 2022 di sini pada Isnin.

Sebelum ini, seramai 40,000 daripada 160,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang sudah berdaftar untuk divaksinasi.

Bagi permulaan suntikan vaksin yang bermula pada 7 Februari lalu, ia hanya melibatkan kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi.

Sehingga Jumaat, seramai 530 kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang telah mendapatkan suntikan vaksin menerusi PICKids.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu adalah 430 kanak-kanak di bahagian pulau, manakala 100 di bahagian seberang.

Menjawab mengenai penutupan sekolah selepas rekod kluster pendidikan dilaporkan semakin meningkat, Norlela berkata, tiada sekolah ditutup selepas kerajaan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.

"Tiada sekolah ditutup selepas pelaksanaan SOP baru ini. Bagi sekolah berasrama, pelajar tidak dibenarkan keluar dan dikuarantin di asrama bagi mengelakkan perebakan.

"Sementara bagi sekolah harian, hanya kelas terlibat ditutup dan pelajar dikuarantin di rumah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Norlela akan membentangkan mengenai peranti berteknologi mudah alih iaitu monitor kawalan elektrokardiogram standard (ECG) ke dalam Program Penang Heart Safe pada Mesyuarat Exco nanti.

Menurutnya, ia bagi membolehkan peranti tersebut diletakkan di lokasi komuniti seperti pemasangan alat Automated External Defribillator (AED) sebelum ini.

"Saya akan mencadangkan perkara ini dalam Mesyuarat Exco agar peranti ini diletakkan bersama peranti AED yang ditempatkan di lokasi awam seperti masjid, taman dan balai raya. Kita memerlukan pembiayaan daripada kerajaan negeri untuk tujuan ini.

"Peranti ECG yang boleh dikendalikan secara 'handheld' ini berharga RM2,500 setiap satu dan ia mudah untuk digunakan tanpa sebarang latihan. Ia hanya perlu diletakkan pada dada dan datanya boleh diperoleh pada peranti pintar.

"Ia boleh dihantar terus kepada doktor untuk penilaian segera dan menjimatkan masa untuk pesakit menunggu dengan lebih lama di hospital. Ia juga boleh menyelamatkan nyawa dan terbukti amat berguna ketika dalam situasi kecemasan," katanya.