RM295 juta diperuntukkan bina LRA Sungai Ngoi-Ngoi fasa 2: MB

Aminuddin -Foto Facebook MB Negeri Sembilan
Aminuddin -Foto Facebook MB Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM 295 juta bagi membina Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ngoi-ngoi fasa 2 dekat sini yang akan dilaksanakan bermula Mac 2022, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, LRA yang dijangka disiapkan dalam tempoh dua tahun itu akan dapat menampung pertambahan permintaan bekalan air secara berterusan bagi penduduk di beberapa kawasan termasuk Seremban, Nilai dan Sendayan.

"Loji berkenaan dijangka mampu menghasilkan 150 juta liter sehari (JLH) untuk kegunaan penduduk, ia antara usaha kita untuk memastikan bekalan air di negeri ini sentiasa mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kolektif antara Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Sains di sini pada Isnin.

Aminuddin yang juga Pengerusi Sains berkata, kerajaan negeri juga akan membina Kolam Imbangan Batu 5, Sungai Terip pada tahun ini membabitkan kos RM12.8 juta yang dapat memanfaatkan 173,000 akaun pengguna di Seremban, Seremban 2 dan Senawang.

Beliau berkata, sebanyak RM14.2 juta pula diperuntukkan bagi menaik taraf projek LRA Gemas Baru yang akan menyalurkan kapasiti tambahan bekalan air menjadi 33 JLH berbanding 27 JLH melibatkan 6,900 akaun pengguna.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sains mencatatkan kerugian sebanyak RM12.5 juta akibat kerosakan membabitkan LRA di Seremban, Tampin, Jelebu dan Port Dickson susulan bencana banjir yang berlaku di negeri ini baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau berkata, beberapa LRA sudah melalui proses pembaikan dari segi pembersihan, elektrikal serta penukaran pam selain sudah beroperasi sepenuhnya termasuk di LRA Kuala Klawang dan Titi.

Artikel Berkaitan:

"Namun, ada beberapa loji masih dalam proses baik pulih seperti di intake Petaseh, di Jelebu yang dijangka siap pada 15 Mac ini,” katanya menambah Negeri Sembilan mempunyai sebanyak 23 LRA. - Bernama