Tawar khidmat baiki telefon bimbit percuma

Mohd Idris menawarkan khidmat membaiki telefon bimbit secara percuma di rumahnya di Kampung Kubang Bunut, Pasir Mas.
Mohd Idris menawarkan khidmat membaiki telefon bimbit secara percuma di rumahnya di Kampung Kubang Bunut, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang lelaki menawarkan khidmat membaiki telefon bimbit secara percuma di rumahnya di Kampung Kubang Bunut di sini bagi membantu meringankan beban kewangan golongan B40 yang terjejas akibat Covid-19.

Mohd Idris Mazlan, 38, berkata, dia memperoleh keyakinan untuk menawarkan perkhidmatan tersebut selepas berjaya membaiki telefon bimbit milik ibunya yang rosak.

Menurutnya, sebelum ini dia memiliki dua kedai percetakan di Wakaf Che Yeh dan pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, namun terpaksa menutupnya akibat Covid-19.

"Selepas itu, saya meneruskan perniagaan percetakan di rumah dan sepanjang duduk di rumah saya ambil peluang belajar membaiki telefon menerusi YouTube.

"Menerusi perkhidmatan ini, pelanggan hanya perlu membawa alat ganti sahaja, manakala pemasangan secara percuma.

Mohd Idris kini menjalankan perniagaan di rumah.
Mohd Idris kini menjalankan perniagaan di rumah.

"Kalau tidak tahu mendapatkan alat ganti, saya boleh tolong belikan dan pasang secara percuma. Saya gembira dapat membantu meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan di musim Covid-19 ini," katanya.

Perkhidmatan yang ditawarkan Mohd Idris mula mendapat sambutan selepas statusnya di Facebook mengenai khidmat membaiki telefon bimbit secara percuma tular.

Artikel Berkaitan:

Mohd Idris berkata, sejak status itu tular dia menerima lebih 100 mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mahu mendapatkan bantuan tersebut.

"Saya sama sekali tidak menyangka ianya tular. Insya-ALLAH saya akan memberikan khidmat terbaik kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Katanya, buat masa ini dia masih belum bercadang untuk membuka semula premis yang terpaksa ditutup akibat Covid-19 dan akan meneruskan perniagaan percetakannya itu di rumah.