Covid-19: Kadar kebolehjangkitan menurun kepada 1.43

Dr Noor Hisham (Gambar kecil) Tangkap layar Twitter Dr Noor Hisham pada Isnin.
Dr Noor Hisham (Gambar kecil) Tangkap layar Twitter Dr Noor Hisham pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 dilaporkan menurun pada tahap 1.43 pada Ahad berbanding Sabtu 1.49.

Berdasarkan data yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya pada Isnin, Labuan masih merekodkan kadar tertinggi sekali gus melepasti Rt negara dengan kadar 1.90.

Sarawak mencatatkan 1.61 manakala Sabah 1.60 diikuti Pulau Pinang (1.44); Perlis (1.43); Pahang (1.39); Selangor (1.37) dan masing-masing 1.35 di Johor, Kelantan dan Kedah.

Terengganu dan Negeri Sembilan mencatatkan kadar 1.34 manakala Putrajaya 1.30 diikuti Perak (1.27), Kuala Lumpur (1.22) dan Melaka (1.19).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai Rt, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Pada Ahad, kes Covid-19 dilaporkan menurun dengan 21,072 berbanding 22,802 pada Sabtu, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,040,235 kes.

Daripada jumlah itu, 99.59 peratus atau 20,986 kes adalah kategori satu dan dua.

Artikel Berkaitan: