MSC dapat ‘lampu hijau’

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

KONFEDERASI Sepak Takraw Malaysia atau Malaysian Sepak Takraw Confederation (MSC), kini selangkah ke hadapan untuk mengambil alih peranan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebagai badan induk sukan sepak takraw dan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

Difahamkan, MSC yang diluluskan pada Jumaat lalu akan diterajui buat sementara waktu oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Datuk Khairudin Samad; Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran; Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSTWPL), Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman dan mantan Presiden Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad.

Menurut sumber, entiti baharu itu telah diluluskan pendaftarannya oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil pada Jumaat lalu dan kini sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

“Secara rasminya PJS telah meluluskan permohonan penubuhan MSC. Sijil penubuhan MSC boleh dilihat di laman sesawang Sistem Pendaftaran Badan Sukan (e-ROSA).

“Penubuhan MSC ini adalah untuk memastikan kesinambungan sukan sepak takraw Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata sumber tersebut kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, Pesuruhjaya Sukan (PJS) memberi bayangan untuk mempertimbangkan untuk mewujudkan entiti baharu sepak takraw bagi menggantikan peranan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di peringkat antarabangsa.

Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof berkata, keputusan tersebut diambil selepas beliau mengambil kira situasi semasa berkenaan kemelut yang melanda antara PSM dan ASTAF.

Dalam pada itu, Ibrahim ketika dihubungi Sukan Sinar mengesahkan pihaknya sudah meluluskan penubuhan MSC.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pihaknya bersetuju meneliti permohonan yang dikemukakan jawatankuasa penaja entiti baharu tersebut sebelum ini.

“Selain itu kelulusan untuk Konfederasi Sepaktakraw Malaysia merupakan satu keperluan demi pembangunan sukan sepak takraw.

“Ia selepas ASTAF menyatakan pendirian untuk tidak lagi menerima PSM sebagai ahli gabungan tersebut selepas ini," katanya.

Untuk rekod, pada 12 November lalu, tiga ahli gabungan yang diketepikan PSM iaitu Selangor, Sarawak dan Putrajaya tetap dengan keputusan mereka untuk menubuhkan entiti baharu sepak takraw negara.

Menurut Markiman, tindakan itu dibuat dalam usaha menjaga kepentingan empat negeri berkenaan dalam mengangkat maruah sukan sepak takraw di Malaysia.