Warga Malaysia IQ rendah bakal jalani hukuman gantung di Singapura

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pausi Jefridin, seorang warga Malaysia dari Sabah yang mempunyai tahap IQ rendah dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati di Singapura pada Rabu depan.

Selain Pausi, seorang warga Singapura, Roslan Bakar akan turut menjalani hukuman mati pada 16 Februari.

Menurut Kirsten Han, wartawan Singapura yang mengikuti rapat kes berkenaan, ahli keluarga Pausi dan Roslan hanya dimaklumkan mengenai tarikh penggantungan itu pada 9 Februari lalu.

Meskipun berdepan kesukaran untuk memasuki Singapura, namun difahamkan ahli keluarga Pausi kini berada di negara itu.

Pausi dan Roslan didapati bersalah menyeludup dadah jenis diamorfin seberat 96.07g dan methamphetamine seberat 76.37g pada 2010.

Menurut kenyataan oleh Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN), walaupun Pausi didiagnos sebagai kurang upaya intelektual dengan IQ pada tahap 67, namun masalah keupayaan itu ditolak hakim mahkamah.

Penghakiman menyatakan bahawa “tahap IQ yang rendah bukan bukti keabnormalan minda”.

Sebelum ini, seorang lagi warga Malaysia dengan IQ rendah, Nagaenthran K Dharmalingam, turut berdepan dengan hukuman mati pada 10 November 2021, namun diberi penangguhan pelaksanaan (stay of execution) oleh Mahkamah Rayuan dan bakal berdepan proses rayuan. - Awani

Artikel Berkaitan: