Kerjasama UMNO, Pas jadi 'ubat kuat' rampas Melaka

Majlis Makan Tengahari Bersama Pimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri Melaka, Badan Perhubungan Pas negeri Melaka dan wartawan di sini. -Foto Sinar Harian
Majlis Makan Tengahari Bersama Pimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri Melaka, Badan Perhubungan Pas negeri Melaka dan wartawan di sini. -Foto Sinar Harian
A
A
A

MELAKA - Kerjasama antara Pas dan UMNO di Melaka mampu memberikan satu kekuatan baharu terutama dalam usaha merampas kembali negeri ini dari PH pada PRU15.

Malah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, beliau yakin penyatuan antara kedua parti itu mewujudkan perolehan majoriti lebih besar.

Menurutnya, pada PRU14, UMNO berjaya memperoleh 13 kerusi DUN Melaka daripada 28 kerusi dipertandingkan, manakala baki 15 kerusi dimenangi PH.

"Perbezaan kerusi antara BN dan PH pada PRU14 tidak banyak, cuma 13:15 kerusi dan kita yakin mampu merampas balik sekurang-kurang enam kerusi terutama di DUN Durian Tunggal, Duyong, Gadek, Klebang, Telok Emas dan Bemban.

"Kami sudah melakukan analisa, kekalahan BN pada PRU14 tidaklah banyak dan kita yakin mampu mencapai majoriti lebih besar daripada jalinan penyatuan antara UMNO dan Pas," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Tengahari Bersama Pimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri, Badan Perhubungan Pas negeri dan wartawan di sini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Melaka Kamaruddin Sidek.

Sementara itu, Kamaruddin turut mengingatkan hubungan semakin akrab antara UMNO dan Pas turut mengundang perasan hasad dengki pihak tertentu yang berazam mahu menghancurkan jalinan kerjasama ini.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berharap pemimpin UMNO dan Pas di Melaka tidak mudah melatah biarpun menerima pelbagai bentuk 'serangan' daripada musuh termasuk pihak yang menjadi 'batu api'.