'Muda bukan parti milik saya' - Syed Saddiq

Syed Saddiq (depan, tengah) berucap semasa Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru pada malam Ahad.
Syed Saddiq (depan, tengah) berucap semasa Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru pada malam Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mahu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dibayangi dirinya, sebaliknya mahu rakyat melihatnya sebagai sebuah parti baharu yang demokratik, progresif dan menjadi pilihan utama rakyat.

Presiden Muda itu tidak mahu Muda menjadi parti peribadi miliknya kerana hakikat sebenarnya ramai yang menjadi penggerak dan tulang belakang sekali gus menafikan beliau adalah 'wajah rasmi Muda'.

"Apa yang pasti, wajah Muda adalah pasukan dalam Muda itu sendiri, wajah-wajah seperti Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd Aziz; Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani dan ramai lagi.

"Saya hanyalah seorang daripada mereka, jadi soal sama ada saya bertanding (Pilihan Raya Negeri Johor) atau tidak, itu soal kedua.

"Saya mengambil itu sebagai tanggungjawab untuk angkat pimpinan Muda agar diberi kepercayaan dan amanah oleh rakyat. Muda tidak boleh jadi parti Syed Saddiq dan Syed Saddiq itu bukanlah Muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri kempen jelajah mendengar sempena PRN Johor di Taman Eco Cascadia di sini pada malam Ahad.

Turut hadir, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad.

Mengulas dakwaan sebuah parti politik bahawa kepimpinan Muda di peringkat pusat dan negeri sombong, Syed Saddiq menafikan tuduhan itu.

Beliau sentiasa mengingatkan semua kepimpinan Muda agar tidak bersikap angkuh dan sombong walaupun dikritik atau diserang bertubi-tubi, malah perlu sentiasa berfikiran positif dengan kritikan.

Artikel Berkaitan:

"Kritikan jika diambil daripada sudut positif ia boleh menjadikan kita individu yang lebih baik, jangan sesekali hilang pendirian dan prinsip dengan kuasa dan tanggungjawab yang diberi kerana kuasa sebenarnya di tangan rakyat.

"Jika kita dikritik kerana melakukan kesilapan, jangan takut, ego atau berasa angkuh untuk meminta maaf, lebih teruk jangan kita terus mengulangi kesilapan sama," katanya.