Sila log masuk terlebih dahulu.

KEDA bina 5,173 rumah bantu golongan miskin

Mahdzir (empat dari kanan) bersama sebahagian penduduk yang tinggal di Taman Desa Pudina, PPK Kubang Kenyeng pada Ahad.
Mahdzir (empat dari kanan) bersama sebahagian penduduk yang tinggal di Taman Desa Pudina, PPK Kubang Kenyeng pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERANG - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah membina sebanyak 5,173 buah rumah bagi membantu golongan miskin di negeri ini sejak penubuhannya pada tahun 1981.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,311 buah rumah telah didirikan di 14 buah kampung tradisional.

Menurutnya, 3,862 buah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pula dibina di 44 buah kampung di bawah Desa KEDA.

“Pembinaan rumah-rumah tersebut dibuat secara penempatan berkelompok dalam satu kawasan agar dapat memudahkan penyaluran bantuan dan lain-lain kemudahan sosial bagi mencapai keharmonian dan perpaduan.

“Projek pembangunan rumah-rumah kampung seperti ini telah dilaksanakan oleh KEDA sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMK4) lagi dan sehingga kini masih diteruskan," katanya ketika sidang akhbar di Majlis Perasmian Taman Desa Pudina, PPK Kubang Kenyeng dekat sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin; ADUN Kuala Nerang, Munir Muhamad Yusoff Zakaria dan Pegawai Daerah Padang Terap, Radzuan Osman.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, seramai 23,775 orang telah menerima manfaat sejak program bantuan perumahan KEDA dilaksanakan.

Menurutnya, bagi projek pembinaan perumahan di Taman Desa Pudina, sejumlah 60 buah rumah dibina dengan kos keseluruhan RM9.5 juta.

Artikel Berkaitan:

"Skop projek merangkumi kerja tanah berkeluasan keseluruhan 2.2 hektar, kemudahan infrastruktur iaitu jalan dalam penempatan, bekalan air, bekalan elektrik, loji rawatan kumbahan dan gelanggang futsal.

“Pembinaan Taman Desa Pudina adalah Projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bertujuan untuk membantu meningkat taraf kehidupan masyarakat miskin luar bandar," ujarnya.

Tambah Mahdzir, pembinaan taman perumahan bukan sahaja memajukan kawasan sekitar daerah Padang Terap, malah keselamatan penduduk akan lebih terjamin.

"Taman Desa Pudina adalah lambang kejayaan projek di bawah KPLB, yang dilaksanakan oleh KEDA dengan membangunkan penempatan baharu dan dilengkapi kemudahan asas serta kondusif.

“Ia bertepatan dengan misi KPLB yang berusaha memanfaat sepenuhnya sumber manusia dan ekonomi serta membangunkan kawasan luar bandar bagi mewujudkan persekitaran sosio ekonomi yang lebih berdaya maju, sejajar dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030," katanya.