'Saya tidak memperdayakan Pengerusi UMNO Pahang': Siti Nora

Siti Nora tampil dalam satu video berdurasi 1.09 saat dan menunjukkan watikah pelantikannya pada Ahad.
Siti Nora tampil dalam satu video berdurasi 1.09 saat dan menunjukkan watikah pelantikannya pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran (penaja), Siti Nora Mohamad Noor menafikan cuba memperdayakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan berhubung status jawatan dalam parti disertainya sebelum ini.

Menurutnya, watikah pelantikan daripada Parti Bersatu itu sah kerana tiada sebarang surat makluman penamatan tugas diberikan kepadanya.

"Saya masih memegang watikah pelantikan Srikandi Bersatu Bahagian Maran dan watikah ini masih ada dalam simpanan.

"Adalah tidak benar saya memperdayakan Menteri Besar Pahang (Pengerusi UMNO Pahang) Wan Rosdy kerana tiada pelantikan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran (yang baharu) seperti di dakwa oleh Bersatu Bahagian Maran," katanya memetik satu kenyataan menerusi video berdurasi 1.09 saat tular melalui aplikasi WhatsApp berhubung penafian jawatannya dalam Bersatu sebelum ini oleh Ketua Bersatu Maran.

Video terbabit dipercayai tular di applikasi WhatsApp pada pagi Ahad.

Pada Khamis, Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin mengeluarkan kenyataan menafikan 31 individu yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO pada Rabu adalah ahli parti itu.

Jasri menjelaskan hanya Siti Nora yang mengetuai kumpulan itu disahkan sebagai ahli Bersatu namun bukan sebagai Ketua Srikandi Maran seperti yang didakwa.

Pada Rabu, Wan Rosdy dalam satu majlis menerima 32 borang keahlian daripada 32 individu yang mendakwa dari Parti Bersatu Bahagian Maran termasuk Ketua Srikandi Bersatu bahagian itu, Siti Nora.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut isu itu, Siti Nora berkata, kenyataan dikeluarkan Jasri adalah satu penafian tanpa merujuk tentang kedudukannya dalam parti tersebut.

"Kenyataan itu sama sekali tidak benar dan beliau (Jasri) tidak merujuk ( membuat semakan) terhadap kedudukan (jawatan) yang telah diberikan kepada saya," ujarnya.

Beliau bagaimanapun berharap penjelasan itu dapat memberikan gambaran jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku.