Keadilan buat keluarga mangsa kes tembak Christchurch

Keluarga mangsa terkorban dalam insiden kejam di dua masjid di New Zealand perlu dapat pengadilan sewajarnya

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Keluarga mangsa terkorban dalam insiden serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood, Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu, perlu mendapat pengadilan sewajarnya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, semua pengganas perlu dikenakan hukuman setimpal bagi menjamin keadilan kepada mangsa yang terkorban.

“Pengganas yang membunuh orang awam tanpa mengira sama ada orang tua, kanak-kanak tanpa perikemanusiaan ini tidak sewajarnya dibenarkan hidup dalam masyarakat.

“Mereka sepatutnya dihukum mati bagi mengembalikan keadilan kepada mangsa dan menjamin keselamatan orang awam,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, katanya, beliau memuji kenyataan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern bagi menanggung kos pengebumian dan memberi perlindungan keselamatan kepada keluarga mangsa.

“Ini adalah langkah tepat yang diambil oleh kerajaan bertanggungjawab. Namun, bagi menjamin mangsa diberi keadilan sewajarnya, kita menuntut semua pengganas dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kejadian mengejutkan itu adalah jenayah terkutuk yang tidak berperikemanusiaan dan dikutuk sekeras kerasnya oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

“Apa yang berlaku berpunca daripada agenda pihak tertentu yang mengapi-apikan kebencian secara tidak rasional terhadap Islam, sedangkan Islam sangat menganjurkan perdamaian dan mengecam kezaliman dan keganasan.

Artikel Berkaitan:

“Realiti yang berlaku, umat Islamlah mangsa yang telah dan sedang mengalami kezaliman serta keganasan yang berterusan di seluruh dunia melalui siri-siri peperangan, pencerobohan dan penjajahan yang tidak berasaskan prinsip keadilan yang betul,” katanya.

Terdahulu, angka maut dalam serangan pengganas dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu meningkat kepada 50 orang dengan 11 lagi mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.