Sila log masuk terlebih dahulu.

CAAM pastikan mitigasi risiko syarikat penerbangan diurus sewajarnya

Wee Ka Siong - Foto Bernama
Wee Ka Siong - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat pemantauan dan pastikan mitigasi risiko syarikat penerbangan terhadap keselamatan dalam penerbangan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan telah berhubung rapat dengan CAAM mengenai insiden penemuan seekor ular di dalam pesawat yang melibatkan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada Jumaat.

Menurutnya, pengawal selia keselamatan dan teknikal telah menguruskan hal itu dengan baik dengan syarikat penerbangan tersebut mengikut semua prosedur dan peraturan keselamatan.

“Setiap syarikat penerbangan mematuhi semakan pra-penerbangan yang ketat sebagai sebahagian daripada keperluan dan prosedur operasi standard.

“Sehubungan itu, CAAM akan terus memantau situasi dengan pengurusan syarikat penerbangan untuk memastikan segala mitigasi risiko diuruskan sewajarnya.

“CAAM tidak akan berkompromi dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan operasi syarikat penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, tular video seorang penumpang yang menemui seekor ular dalam pesawat penerbangan domestik syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah.

Setelah menyedari kejadian itu, juruterbang bertugas memutuskan untuk membuat pendaratan kecemasan ke Lapangan Terbang Kuching, Sarawak sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk membersihkan semula pesawat itu.

Artikel Berkaitan:

Video berdurasi 16 saat itu dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok dengan nama @edal8808.