Dua korban rakyat Malaysia dibawa pulang esok

- Foto Detik
- Foto Detik
A
A
A

JAKARTA - Dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa di Lombok semalam, dijadual dibawa pulang esok pagi ke Malaysia.

Menurut Atase Polis Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Abu Bakar Yaacob yang kini berada di Lombok bagi menguruskan urusan tersebut berkata kedua-dua jenazah itu akan dibawa dengan penerbangan Garuda.

"Jenazah akan diterbangkan esok dengan pesawat Garuda jam 9.40 pagi dari Lombok. Transit di Jakarta dan dijadual berlepas ke Kuala Lumpur jam 1.30 petang," katanya.

Dua yang terbunuh itu ialah Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim dan seorang lagi wanita, dikenali sebagai Lim Sai Wah.

Abu Bakar berkata perancangan awal ialah membawa pulang kedua-dua jenazah itu hari ini, namun dijadualkan esok atas sebab-sebab tertentu.

"Pihak hospital Lombok akan lakukan bedah siasat petang ini, manakala anggota keluarga mangsa juga dijangka baru sampai petang ini. Jenazah akan dibawa balik esok, kos membawa balik akan ditanggung ejen pelancong terbabit serta pihak berkuasa Indonesia dan syarikat penerbangan Garuda," katanya.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan berkata proses untuk membawa pulang jenazah dua warganegara Malaysia itu sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama pihak hospital (Rumah Sakit Umum Daerah - RSUD Mataram) dan pihak berkuasa tempatan.

Pegawai Kedutaan Malaysia di Lombok juga sedang menyelaras dengan anggota keluarga bagi memastikan kelancaran urusan membawa pulang kedua-dua jenazah tersebut, yang dijadual tiba di Kuala Lumpur dengan penerbangan melalui Jakarta, esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: