Kepimpinan baharu PSM janji selesai kemelut Astaf secepat mungkin

Mohd Sumali ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PSM bagi penggal 2022-2025 hari ini. - Foto Bernama
Mohd Sumali ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PSM bagi penggal 2022-2025 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepimpinan baharu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berjanji akan menyelesaikan kemelut persatuan itu dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dengan secepat mungkin.

Datuk Mohd Sumali Reduan yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden PSM pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini berkata, pihaknya akan terlebih dahulu bertemu Menteri Belia dan Suka,n Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof sebelum mengadakan rundingan bersama Astaf.

Selepas itu, beliau berkata, barisan kepimpinan baharu PSM itu akan berbincang dengan Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader dan ahli jawatankuasa badan sepak takraw Asia itu secepat mungkin untuk menyertai semula badan induk itu.

Pada 20 Mei tahun lepas, PSM disingkirkan Astaf daripada menjadi ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta-merta selepas didapati bersalah susulan tindakan bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, sebagai Timbalan Presiden Astaf, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Ahmad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat digantung selama 17 tahun sejak 6 Mei tahun lepas sebelum melepaskan jawatan Presiden PSM pada 5 Jun 2021 selepas menerajui tampuk kepimpinan persatuan itu sejak 2002.

Mohd Sumali berkata, beliau berharap dapat memulihkan kembali nama baik PSM serta mengembalikan hubungan baik bersama Astaf.

"Kami juga berharap dapat melihat sukan sepak takraw ini lebih maju dan dapat meningkatkan kualiti pemain di negara kita,” katanya pada sidang media selepas AGM berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Sumali berkata, perancangan lain serta hala tuju PSM bagi tahun ini akan dibincangkan pada mesyuarat ahli jawatankuasa tertingginya pada minggu hadapan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menegaskan PSM akan menampilkan imej baharu tanpa bayangan Tok Mat.

"Tiada lagi apa-apa bayangan Tok Mat, yang ada bukan bayangan beliau, tetapi adalah bayangan sukan sepak takraw Malaysia,” tambahnya.

Senarai kepimpinan terbaharu PSM:

Presiden: Datuk Mohd Sumali Reduan

Timbalan Presiden: Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan

Naib Presiden: Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Datuk Awang Sham Amit dan Datuk Abu Jimi

Samat.

- Bernama