LIMA'19 letakkan pertahanan Malaysia terus ke hadapan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA’19) akan menjadi platform yang sesuai untuk mengetengahkan inovasi dan teknologi terkini pertahanan dan tentera di rantau ini serta seluruh dunia, kata syarikat pertahanan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Secured Technologies, Datuk Zarif Hashim berkata, LIMA’19 jelas berkisar mengenai teknologi tinggi dan inovasi terbaru di luar sana justeru akan mengukuhkan penguasaan Sapura dalam teknologi kejuruteraan lanjutan dan kecekapan sistem integrasi.

“Sapura menyertai LIMA sejak ia dianjurkan pada 1997. Kami sertai pameran ini secara serius memandangkan platform ini adalah peluang kami untuk mempamerkan keupayaan teknologi kami dengan pemain luar negara.

“Kami harus memastikan kami boleh bersaing dengan pemain global yang lain kerana Sapura antara syarikat utama di negara ini, justeru terdapat jangkaan yang tinggi dari syarikat tempatan seperti kami untuk berjaya mempamerkan keupayaan kami di LIMA,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

LIMA’19 berlangsung dari 26 hingga 30 Mac, akan disertai 350 syarikat tempatan dan antarabangsa dari 20 negara, akan diadakan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Zarif menjelaskan Sapura Secured Technologies iaitu sebahagian daripada Sapura Group, akan meneruskan misi mereka secara konsisten sejak bertahun-tahun, iaitu membangunkan teknologi asli dalam elektronik pertahanan serta menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan bagi pertahanan dan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, keselamatan awam dan responder pertama agensi.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan kami dapat membina keupayaan, bagi membolehkan sektor ini bebas, membolehkan Malaysia mencapai kedaulatan teknologinya. Di LIMA’19 ini, kami akan mempamerkan inovasi terkini kami, radio pegang taktikal TRC5200 yang telah disahkan dan diiktiraf sebagai produk bertaraf dunia oleh pemain global Eropah.

“Kami agak berbangga dengan produk ini kerana 100 peratus rekaannya, dibangunkan dan dibuat oleh jurutera Malaysia. Kami juga bangga untuk pamerkan sistem perintah dan kawalan yang telah digunakan dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Selain daripada kemampuan untuk menghasilkan perkakasan kelas dunia, kami juga mempunyai keupayaan untuk membangunkan perisian kompleks dan memanipulasi enjin perisian bertaraf dunia dan mengubahnya menjadi teknologi yang sama dengan standard yang digunakan oleh NATO,” katanya.

Zarif berkata di bawah perintah dan kawalan bersama ini, syarikat telah membuktikan keupayaannya untuk mengintegrasikan pelbagai sistem yang berbeza di luar sana, termasuk sensor untuk menyediakan common operating picture untuk angkatan tentera.

Sementara itu Ketua Keselamatan dan Pertahanan Muhibbah Engineering (M) Bhd, Komander (B) Reza Adnan Mohd Kassim berkata pihaknya mempamerkan beberapa produk berkaitan pertahanan dan keselamatan maritim bersama rakan strategik luar negeri mereka.

“Antara yang akan dipamerkan ialah model Mobile Offshore Base (MOB), model Multi-Purpose Mission Ship (MPMS), model kapal MV Polaris dan bot pemintas laju CJ 66. Di samping itu, rakan strategik luar negeri kami juga akan mempamerkan beberapa model kapal dan bot yang mempunyai teknologi terkini termasuk kapal yang mempunyai hybrid propulsion,” katanya,

Muhibbah Engineering (M) Bhd dikenali sebelum ini antara yang aktif membina kem tentera bagi Kementerian Pertahanan, membina kapal, bot pemintas CJ66 Fast Interceptor Craft selain projek penyelenggaraan jalan persekutuan.

Reza Adnan berkata selain itu juga, syarikat tersebut dan rakan strategik mereka juga akan memperkenalkan Unmanned Surface Vehicle (USV) dan Autonomous Surface Vehicle (ASV) dalam bentuk video dan brosur.

“Kami yakin, terdapat potensi besar penggunaan USV dan ASV ini di Malaysia dalam pelbagai aplikasi, sama ada untuk tujuan pertahanan, keselamatan, penguatkuasaan, persekitaran, pencegahan kebakaran, pengukuran dan lain-lain.

“Pihak kami juga kini sedang aktif dalam bidang MRO (Maintenance Repair & Overhaul) kapal-kapal dan bot-bot agensi kerajaan, kekuatan bidang ini juga diutamakan,” katanya.

Pameran LIMA’19 edisi ke-15 pada kali ini, akan dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan bertemakan, Defence and Commercial Connecting Intelligence.

Pameran LIMA'19 di MIEC dibuka kepada pelawat awam pada 29 dan 30 Mac manakala pameran segmen maritim di RWL dibuka kepada semua dari 26 Mac hingga 30 Mac.

LIMA’19 akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pencetus kepada penganjuran pertama pameran berprestij ini pada 1991, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri keempat ketika itu.- Bernama