589 seniman terima inisiatif pemulihan Cendana

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM6.71 juta kepada 589 pemohon Inisiatif Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) dalam usaha menyokong golongan seniman dalam sektor seni, budaya dan hiburan, setakat 4 Februari lepas.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penggiat industri kreatif disaran menggunakan peluang kemudahan yang disediakan dan boleh memohon bantuan dari agensi berkaitan.

Sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta, yang dijangka akan memanfaatkan 3,000 penerima dalam kalangan seniman dan organisasi di dalam sektor seni dan budaya di negara ini.

"Penerima akan menerima saiz geran yang berbeza, bergantung kepada permohonan dan program yang disasarkan,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-84 yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 376 permohonan pembiayaan sektor pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS Mikro yang terkesan akibat pandemik Covid-19, telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM75.5 juta.

Secara keseluruhan, sebanyak 730 permohonan diterima bagi pembiayaan tersebut, setakat 4 Februari lepas.

Tengku Zafrul memberitahu, sejumlah RM90.5 juta telah disalurkan kepada 13,891 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman, untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.

Tambah beliau, peruntukan itu diberikan dalam usaha menyokong penggunaan teknikal dan digital bagi PKS dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC), di bawah Penjana di mana sebanyak RM700 juta diperuntukkan bagi membantu dan menggalakkan PKS dan MTC ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

Selain itu katanya, kerajaan bersetuju memberikan subsidi tambahan sebanyak RM130 juta sebulan, bagi mengurangkan kos ayam dan telur berhubung kenaikan kos pengeluaran barangan itu.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi memastikan harga siling ayam kepada pengguna dikurangkan daripada RM9.10 sekilogram kepada RM8.90 sekilogram dan harga telur bagi semua gred kekal,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan telah memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak RM0.60 sen sekilogram dan RM0.05 bagi sebiji telur, dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang dan harga runcit ayam standard.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM3.5 bilion tambahan perbelanjaan diperuntukkan untuk lebih 11,000 jawatan lantikan tetap di Kementerian Kesihatan bagi tahun 2022 hingga 2025, termasuk 4,186 jawatan lantikan tetap untuk pegawai perubatan, pegawai pergigian serta pegawai farmasi untuk tahun 2022. - Bernama