PRN Johor: Pemecatan Khairuddin tidak jejas jentera Pas

Mohd Amar ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Kompleks Karangkraf pada Sabtu. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Amar ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Kompleks Karangkraf pada Sabtu. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Isu pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkuat kuasa pada Khamis tidak mengganggu persediaan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pemecatan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu tidak memberi sebarang kesan kepada jentera parti meskipun banyak pihak mempersoalkan tindakan Pas pusat.

"Sebab pemecatan Khairuddin menurut Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah berkaitan masalah disiplin dan itu sahaja yang dinyatakan oleh beliau (Abdul Hadi).

"Bidang kuasa Majlis Syura Ulama adalah menentukan siapa setiausaha baharu, Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pas Pusat tidak masuk campur. Kita serahkan sepenuhnya kepada mereka," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kebajikan Pasca Banjir 2021 kepada Anak Kelantan di Kompleks Karangkraf pada Sabtu.

Media pada Jumaat melaporkan, Abdul Hadi mengesahkan pengguguran bekas AJK Pas itu seperti diputuskan dalam mesyuarat Pas pusat pada Rabu berikutan masalah disiplin.

Abd Hadi dilaporkan berkata, Mohd Khairuddin kini hanya ahli Pas tanpa memegang jawatan tertinggi dalam parti.

Pada 12 Januari lalu, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu digugurkan sebagai AJK Pas selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Sementara itu, Mohd Amar memaklumkan parti itu masih dalam perbincangan mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.

Artikel Berkaitan:

"Sepertimana yang disebut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) akan bertanding tidak kurang daripada 40 kerusi.

"Mana-mana ahli Pas yang mahu menjadi calon pilihan raya perlu berbaiah sebagai pengikat kesetiaan terhadap parti," ujarnya.