Perkenal mekanisme pembiayaan sosial tingkat pemilikan rumah

Kumpulan B40 dan M40 menghadapi halangan mendapatkan pembiayaan terutama jika dinilai oleh institusi kewangan. - Gambar hiasan
Kumpulan B40 dan M40 menghadapi halangan mendapatkan pembiayaan terutama jika dinilai oleh institusi kewangan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) boleh mempertimbangkan beberapa bentuk mekanisme pembiayaan sosial untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah dan pertengahan (B40 dan M40), sejajar dengan sasaran Satu Keluarga Satu Rumah.

Profesor Ekonomi dari Universiti Sunway, Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata, elemen pembiayaan sosial adalah dalam bentuk kredit terarah, siling kadar faedah dan subsidi yang dapat membantu mengurangkan kemungkinan catuan kredit yang dihadapi oleh isi rumah yang mudah terjejas.

"Kumpulan B40 dan M40 biasanya menghadapi halangan yang lebih besar dalam mendapatkan pembiayaan, terutamanya jika mereka dinilai oleh institusi kewangan untuk berada dalam kategori risiko kredit tinggi.

"Oleh itu, sebarang inisiatif untuk memudahkan akses kepada pembiayaan, selain mengekalkan piawaian berhemat, akan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) bersetuju meletakkan sasaran - Satu Keluarga Satu Rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BNM perlu melihat kembali model pembiayaan perumahan untuk memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan B40 dan M40 selaras dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah.

Katanya, ini bagi memastikan institusi kewangan memudahkan pinjaman untuk kumpulan tersebut membeli rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik serta fokus diberi untuk pembelian terus dan sewa untuk beli.

Kim Leng berkata, pembiayaan berasaskan sistem perbankan semasa adalah mekanisme terbaik untuk menyokong pemilikan rumah bagi kedua-dua kumpulan itu berdasarkan sistem pengurusan risikonya yang baik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Dr Geoffrey Williams mencadangkan bank pusat mengubah suai syarat dalam model pembiayaan pinjaman.

Beliau berkata, institusi kewangan boleh menawarkan pinjaman pelbagai generasi yang mengambil kira ahli keluarga dan keupayaan mereka untuk membuat pembayaran berbanding jadual pembayaran balik pinjaman yang tetap.

"Kemungkinan jadual pembayaran balik boleh menjadi lebih panjang atau rumah itu akan menjadi sebahagian milik penyedia kewangan walaupun pada akhir tempoh pinjaman.

"Oleh itu, ia akan kembali, sebahagiannya kepada keluarga dan sebahagiannya kepada bank selepas peminjam meninggal dunia,” katanya.

Selain itu katanya, bank boleh menawarkan pinjaman sewa untuk beli apabila bayaran balik pinjaman ditetapkan kepada kos sewa, dengan rumah sebagai cagaran berbanding pembayaran balik pinjaman ditetapkan kepada kos pinjaman.

"Satu lagi (pilihan) ialah penyewaan jangka panjang berdasarkan kegunaan rumah berbanding pemilikan rumah. Bukan semua orang perlu memiliki rumah.

"Pada amnya, kita memerlukan portfolio pilihan yang luas yang memberi pilihan kepada orang ramai dalam pasaran perumahan untuk menyesuaikan dengan keperluan mereka dalam jangka masa panjang,” katanya.

Geoffrey turut menekankan keperluan untuk melakukan pembaharuan kepada bahagian penawaran dalam pasaran perumahan, mengurangkan kartel dan menamatkan subsidi kepada pemaju rumah yang mengganggu pasaran.